Mengikut perancangan, Ezad Lazim (gambar bawah) dan isteri, Zeana Ramli mahu bersanding kali kedua, akhir bulan ini.
Namun, acara itu terpaksa ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19.
Ezad reda niat meraikan ulang tahun perkahwinan ketujuh dengan menjadi ‘raja sehari’ sekali lagi, tidak kesampaian.
“Kita hanya mampu merancang, Tuhan menentukan. Isteri pada awalnya bersedih, namun, akhirnya, kita tidak mampu melawan semua ini. Pasti ada hikmah lain, InsyaAllah.
“Mudah-mudahan ada sesuatu yang baik untuk kami kelak,” katanya kepada media.
Sebelum ini, penyanyi lagu Demi Cinta itu mengumumkan bakal bersanding sekali lagi dengan isteri di sebuah premis acara di Petaling Jaya pada 29 Mac depan, iaitu sehari sebelum ulang tahun perkahwinan mereka.
Majlis persandingan itu serentak dengan perasmian perniagaan berkaitan perancang perkahwinan yang diusahakan Ezad bersama isteri.
Ezad mengaku tidak pasti bila hasrat untuk bersanding sekali lagi tercapai berikutan faktor masa.
“Bulan hadapan kita bakal menyambut Ramadan disusuli Aidilfitri. Mungkin tarikh baharu berganjak jauh… Kita tengok keadaan,” katanya yang bakal muncul dengan single duet bersama seorang penyanyi wanita.
Ezad atau nama sebenar, Mohd Rohaizad Mohamad Lazim bersyukur rezekinya terus murah terutama selepas pulang daripada mengerjakan umrah, beberapa bulan lalu. – Agensi