Ezuan kecewa digugurkan skuad kebangsaan

KUALA LUMPUR, 3 MAC – Penembak negara, Muhammad Ezuan Nasir Khan terkilan apabila namanya digugurkan daripada skuad kebangsaan, setelah 14 tahun menabur bakti dalam pasukan negara.

Atlet berusia 31 tahun yang lebih mesra dengan panggilan ‘Tulang’ dalam kalangan rakan sepasukan, mengakui terkejut dengan keputusan dibuat oleh Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) untuk menggugurkan namanya bersama dua lagi penembak elit negara, Shahera Rahim Raja dan Joseline Cheah  memandangkan mereka sentiasa memberi yang terbaik ketika mewakili negara.

“Saya sebenarnya terkejut dengan berita pengguguran saya, sedangkan saya sentiasa mencatat kutipan markah konsisten dalam beberapa kejohanan luar negara termasuk Sukan SEA 2019, Kejohanan Menembak Asia dan Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) pada tahun lepas.

Saya tidak pasti kriteria pemilihan ditetapkan oleh pihak pengurusan sehingga mereka mengambil tindakan menggugurkan nama saya bersama Joseline dan Shaheera. Ini tidak adil kerana saya sudah lama menabur bakti bersama skuad kebangsaan sejak 2005,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau juga pemenang pingat perak Sukan Asia 2014 dalam acara 50 meter rifle prone individu dan pingat emas dalam acara sama di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

NSAM sebelum ini memutuskan untuk menggugurkan tiga penembak senior dan menyenaraikan empat muka baharu iaitu Haritz Iklil Hessly Hafiz, Nurul Syasya Nadiah Ariffin, Alia Husna Budruddin dan Nur Izazi Rosli, selepas mempamerkan prestasi cemerlang di Kejohanan Menembak Terbuka Selangor, bulan lepas.

Jurulatih kebangsaan, Yusri Jusoh berkata keputusan menggugurkan tiga penembak senior itu dibuat  selepas mesyuarat jawatankuasa kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN), baru-baru ini.

Dalam pada itu,  Muhammad Ezuan yang juga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkata beliau akan memberi fokus kepada persiapan menghadapi Kejohanan Menembak Trofi Ally T.H. Ong dari 10 hingga 15 Mac ini, di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan di Subang.

“Saya tidak pasti sama ada saya akan diserapkan semula dalam skuad kebangsaan tahun ini, namun saya yakin peluang mewakili negara masih ada sekiranya saya dapat meraih keputusan lebih cemerlang di beberapa kejohanan antarabangsa,  tahun ini,” katanya. – Bernama