Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ezzaty menangis buat ujian calitan

    Pelakon Ezzaty Abdullah, 31, berkongsi perasaan gementar ketika melakukan ujian calitan COVID-19 yang diwajibkan ke atas warga penggiat seni yang menjalani penggambaran.

    Meluahkan perasaannya menerusi entri Instagram TV (IGTV), Ezzaty mengakui, dia menangis terutama apabila mengenangkan kesakitan yang bakal dialami ketika melakukan ujian itu.

    “Ya Allah, Tuhan sahaja yang tahu betapa gementarnya saya apabila mahu melakukan ujian calitan ini. Dua hari dua malam saya menangis sebab takut.

    “Pagi tadi saya menangis kerana saya seorang yang tidak boleh tahan sakit dan mudah menangis walaupun sekadar ambil darah pada bahagian jari,” tulisnya.

    Walaupun diburu perasaan bimbang, namun, isteri aktor Azwan Kombos itu tetap memberanikan diri demi memastikan kesihatan diri dan orang di sekelilingnya terjamin. “Sebagai rakyat Malaysia yang ber-kerja dan berjumpa ramai orang, saya perlu bertanggungjawab melakukan ujian saringan ini sebagai langkah berjaga-jaga, selain memastikan saya tidak menyebabkan virus ini menular kepada orang lain terutama anggota keluarga dan rakan sekerja.

    “Takut atau tidak, semua ini kena tolak tepi. Percayalah, memang tak sakit pun. Sedangkan, saya tak boleh tahan sakit boleh melalui situasi ini, saya percaya orang lain mampu melakukannya,” ujar pelakon drama rantaian Rahimah Tanpa Rahim itu. Menerusi perkongsian itu, Ezzaty turut mengesahkan yang dirinya bebas COVID-19.

    Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan membenarkan kerja pra-produksi penggambaran dan rakaman di studio merangkumi drama, telefilem, iklan, dokumentari, sitkom, ‘livestreaming’, rakaman kebudayaan, seni dan warisan tanpa penonton.

    Syarat lain perlu dilaksanakan adalah mewajibkan pelakon dan petugas balik tabir melakukan ujian calitan sebelum produksi diberikan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) khas seperti yang dikehendaki Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). – Agensi

    Ezzaty Abdullah berkongsi pengalaman melakukan ujian calitan COVID-19 menerusi laman Instagram. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda