F1 batal perlumbaan di Azerbaijan, Singapura, Jepun

AMERIKA SYARIKAT, 12 JUN – Perlumbaan Formula Satu (F1) di Azerbaijan, Singapura dan Jepun dibatalkan kelmarin disebabkan beberapa isu yang timbul seperti wabak COVID-19.

Badan pengurus sukan itu mengatakan ia masih berharap dapat mengadakan hingga 18 perlumbaan pada musim 2020 yang disusun semula, dengan lapan perlumbaan yang pertama telah disahkan bermula di Austria pada awal Julai depan.

Grand Prix Azerbaijan dijadualkan semula setelah penangguhan tarikh perlumbaan asalnya pada 7 Jun, sementara Grand Prix Singapura dijadualkan pada 20 September.

Kedua-duanya menggunakan litar jalanan dan FIA mengatakan memerlukan masa yang panjang untuk meneruskannya dan menjadikan penganjuran acara perlumbaan semakin sukar untuk diteruskan kerana penularan wabak virus itu.

Grand Prix Jepun, dijadualkan pada 11 Oktober, dibatalkan kerana sekatan perjalanan yang berterusan semasa wabak tersebut.

Pemandu Ferrari, Sebastian Vettel dari Jerman semasa di Grand Prix F1 Australia di Melbourne pada 12 Mei lalu. – Agensi

“Kami yakin dengan rancangan kami untuk mengadakan perlumbaan antara 15 hingga 18 perlumbaan pada saat musim kami berakhir di Abu Dhabi pada pertengahan Disember nanti,” kata FIA, sambil menambah bahawa pihaknya mengharapkan untuk menerbitkan kalendar akhir sebelum perlumbaan pembukaan musim di Austria pada 5 Julai ini.

Red Bull Ring di Spielberg juga akan menjadi tuan rumah perlumbaan F1 pada 12 Julai.

Perlumbaan seterusnya akan diadakan di Hungary pada 19 Julai, diikuti oleh perlumbaan berturut-turut di GP Britain di Silverstone pada 2 dan 9 Ogos setelah kerajaan Britain mengecualikan sukan elit daripada kuarantin ke atas pelawat asing.

Perlumbaan seterusnya dijadualkan di Sepanyol pada 16 Ogos dan Belgium pada 30 Ogos, dengan Itali melengkapkan perlumbaan akhir di Eropah pada 6 September.

Tidak ada penonton yang dibenarkan menghadiri lapan perlumbaan pembukaan. Ia mungkin berubah pada musim ini sekiranya keadaan kesihatan mengizinkan. – AP