DUBAI, 7 Mac – Kumpulan hak asasi di seluruh dunia memberi tekanan ke atas Formula 1 (F1), dengan mendesak kerajaan Bahrain untuk membebaskan seorang aktivis yang dipenjarakan setelah mengkritik penganjuran Grand Prix 2017 di Manama.
Surat-surat di antara F1 dan beberapa kumpulan hak asasi, termasuklah Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan dan Institut bagi Hak Asasi dan Demokrasi Bahrain, yang diperoleh AFP semalam, telah membangkitkan kes berkaitan Najah Yousif, yang dipenjarakan selama tiga tahun mengenai apa yang diperkatakan kumpulan hak asasi, kritikannya terhadap Grand Prix Bahrain 2017.
Yousif membantah keputusan F1 untuk mengadakan perlumbaan di Bahrain menerusi media sosial berhubung rekod hak asasi negara terbabit.
Pihak pendakwaan berkata Yousif disabitkan kesalahan ‘menyiarkan berita palsu dan berat sebelah’ mengenai keadaan di Bahrain dan ‘mencetuskan tindakan pengganas’.
Namun, semalam, kerajaan Bahrain telah menafikan penahanan Yousif mempunyai kaitan dengan Grand Prix.
“Sebarang tanggapan bahawa dia disabitkan kesalahan berkaitan perkara tersebut adalah tidak benar,” kata jurucakap kerajaan dalam satu kenyataan.
“Dia didakwa dan kemudiannya disabitkan salah oleh mahkamah atas kesalahan pengganas.”
Sepucuk surat bertarikh 6 Februari lalu yang ditandatangani oleh 17 kumpulan hak asasi menggesa F1 untuk ‘mengekalkan komitmennya terhadap hak asasi kemanusiaan’ dengan mendesak bagi pembebasan segera Yousif dan mendedahkan maklumat yang diperoleh ketika perbincangan penganjur bersama kerajaan Bahrain.
Respons pada 4 Mac lalu daripada konsul agung F1, Sacha Woodward Hill berkata F1 “memastikan penahanan Yousif, dakwaan yang dihadapinya, perbicaraan dan sabitan ke atasnya tidak kena mengena dengan bantahan damai sekitar Grand Prix Bahrain,” satu kenyataan yang ditolak oleh kumpulan hak asasi sebagai ‘tidak masuk akal’.- AFP

































