F1 mahu dua perlumbaan di Shanghai

SHANGHAI, 16 JUN – Ketua Formula Satu (F1) ingin melancarkan dua perlumbaan di Shanghai musim ini setelah Grand Prix China ditunda kerana wabak COVID-19, kata ketua sukan itu kelmarin, sambil menambah bahawa tidak ada keputusan akhir diambil.

Kejuaraan dunia yang terganggu oleh pandemik itu pada tahun ini dijangka dilancarkan semula dengan perlumbaan berganda bermula di Austria pada 5 dan 12 Julai, diikuti dengan perlumbaan di Silverstone, England yang juga menjadi tuan rumah dua perlumbaan.

Grand Prix China, yang pada awalnya dijadualkan pada 19 April, ditangguhkan pada bulan Februari lalu tetapi F1 nampaknya bertekad untuk mengadakan perlumbaan di negara itu kerana itu salah satu pasaran utama sukan tersebut pada separuh kedua tahun ini.

Ditanya sama ada akan ada dua perlumbaan grand prix di Shanghai daripada yang biasa, Xu Bin, pengarah biro sukan di bandar itu, mengatakan kepada Shanghai People’s Radio “Ini dicadangkan oleh syarikat pengurusan F1. Semua orang tahu bahawa F1 secara rasmi telah mengumumkan bahawa mereka telah menyambung semula lapan perlumbaan Eropah pertama tahun ini, tetapi tidak satu pun perlumbaan itu diadakan di Asia.”

Xu menambah, “Kami masih berbincang dengan F1 untuk melihat apakah ada kemungkinan menjadi tuan rumah untuk dua perlumbaan di Shanghai, tetapi belum ada keputusan akhir dibuat.

“Sudah tentu kita harus melihat bagaimana virus itu dikendalikan.”

China, di mana COVID-19 itu mula muncul akhir tahun lalu, telah menyaksikan penurunan jumlah jangkitan dan kematian yang ketara.

Namun, negara itu kini bergelut kembali untuk mengawal wabak baharu di ibu kota Beijing.
F1 dilanda kekacauan pada bulan Mac lalu ketika perlumbaan pembuka tirai di Australia dibatalkan beberapa jam sebelum sesi latihan pembukaan, ketika virus itu mula merebak ke seluruh dunia.

F1 di Singapura, Jepun dan Azerbaijan dibatalkan pada Jumaat lalu kerana masalah logistik yang disebabkan oleh COVID-19. – AP

F1 ingin melancarkan dua perlumbaan di Shanghai musim ini setelah Grand Prix China ditunda kerana wabak COVID-19. – AP