F1 perkenal Halo tahun depan

PARIS, 20 Julai – Kereta-kereta Formula Satu (F1) akan dilengkapi dengan alat keselamatan kokpit, Halo, bagi kejuaraan dunia 2018, umum kumpulan strategi sukan itu, meskipun kesangsian mengenai keberkesanannya.

Sukan itu telah lama mencari perlindungan tambahan untuk kepala pemandu dalam dua tahun kebelakangan ini susulan kematian pemandu F1, Jules Bianchi dan pelumba IndyCAr, Justin Wilson.

“Berikutan satu persetujuan sebulat suara Kumpulan Strategi pada Julai 2016, untuk memperkenalkan perlindungan tambahan di depan bagi F1 dan sokongan berterusan dari para pemandu, FIA memperkenalkan Halo untuk 2018,” umum kumpulan itu dalam satu kenyataan.

“Dengan sokongan daripada pasukan-pasukan, beberapa ciri rekaannya akan diperbaiki dari semasa ke semasa.

“Setelah memajukan dan menilai sejumlah besar alat keselamatan dalam lima tahun kebelakangan ini, ia jelas bahawa Halo memberikan prestasi keselamatan terbaik secara menyeluruh.”

Halo kali pertama diuji oleh Ferrari pada tahun 2016 dengan bos Red Bull, Christian Horner menggambarkannya sebagai ‘jalan penyelesaian hodoh’. Halo dijangka digunakan dalam kejuaraan 2018. – AFP

Namun, satu majalah berpengaruh, Autosport mendakwa bahawa majoriti 10 pasukan yang ada dalam perjumpaan kelmarin membuat undian menentang pemakaian Halo.

Halo kali pertama diuji oleh Ferrari pada tahun 2016 dengan bos Red Bull, Christian Horner menggambarkannya sebagai ‘jalan penyelesaian hodoh’. Kesemua pasukan sudah mengujinya.

Juara dunia tiga kali, Lewis Hamilton, pada mulanya kurang menerima idea itu ketika mula-mula melihatnya tahun lepas.

“Ia seperti tidak sesuai dengan kereta F1. Tetapi saya memberikan tumpuan lebih pada keselamatan. Saya sangat memberikan perhatian pada keselamatan,” kata bintang Mercedes itu.

“Ia masih boleh diperbaiki. Saya tidak fikir kami boleh mengendahkannya dan jika ada cara untuk menjadikannya lebih bagus (ia pasti hebat) tetapi isu keselamatan adalah perkara yang perlu kita semua terima.”

Satu sistem alternatif, Shield, telah mula diuji buat pertama kali dalam latihan di Grand Prix Bristish minggu lepas.

Bagaimanapun, bekas juara dunia, Sebastian Vettel berkata ia menjadikannya pening dan dia memendekkan ujiannya selepas hanya satu pusingan di Silverstone.

“Saya sudah mencubanya, saya menjadi sedikit pening. Penglihatan depan tidak begitu bagus,” kata bekas juara dunia empat kali itu. – AFP