Friday, September 30, 2022
23.3 C
Brunei

F1 tidak mungkin kembali ke Malaysia

-

SINGAPURA, 15 SEPT – Formula Satu tidak mungkin kembali ke Malaysia dalam masa terdekat kerana kerajaan menumpukan usahanya untuk membina semula ekonomi daripada kemusnahan akibat pandemik koronavirus, kata bos litar itu.

Azhan Shafriman Hanif, ketua eksekutif Litar Antarabangsa Sepang yang pernah menjadi tuan rumah perlumbaan itu, memberitahu pemberita di Singapura lewat Rabu, kerajaan mungkin mempertimbangkan semula pilihannya selepas dua hingga tiga tahun.

Litar Sepang, yang terletak di luar ibu negara Kuala Lumpur, pertama kali menjadi tuan rumah perlumbaan pada 1999, dengan Grand Prix terakhir diadakan di sana pada 2017. Malaysia terkeluar daripada kalendar F1 mulai 2018 berikutan peningkatan kos penganjuran acara itu.

“Pada ketika ini, jawapannya ialah tidak, bukan buat masa ini,” kata Azhan Shafriman ketika ditanya sama ada Malaysia merancang untuk menganjurkan perlumbaan itu sekali lagi.

“Mungkin dalam dua hingga tiga tahun lagi apabila ekonomi sudah stabil.” Beliau berkata Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah F1 ‘untuk meletakkan negara di peta’ melalui pelancongan sukan. Tetapi untuk F1 kembali, kerajaan perlu mengkaji ‘gambaran besar’ dari segi manfaatnya kepada negara.

“Kita perlu melihat penjenamaan semula, bagaimana kita mengewangkan platform. Kita perlu bercakap tentang pemindahan teknologi, pembangunan bakat dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Beliau dan pegawai litar lain berada di Singapura minggu ini untuk mempromosikan perlumbaan motosikal Petronas Grand Prix akan datang, juga dikenali sebagai MotoGP, yang akan diadakan di litar Sepang dari 21-23 Oktober. – AFP

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China: Tiada siapa berhak guna veto nasib rakyat Palestin

BEIJING, 29 SEPT - China menegaskan tiada siapa berhak menggunakan kuasa veto masing-masing dalam isu-isu mengenai masa depan dan nasib rakyat Palestin, lapor agensi...
- Advertisment -