Tuesday, April 22, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    F1: Hamilton sedar ancaman Ferrari

    SINGAPURA, 19 Sept – Lewis Hamilton memberi amaran kejuaraan Formula Satu (F1) adalah jauh dari berakhir selepas bencana pusingan pertama pasukan Ferrari di Singapura yang meletakkannya selesa bagi gelaran dunia keempat.

    Pemandu dari Mercedes itu berkata dia menjangkakan tindak balas kuat dari Ferrari selepas Sebastian Vettel dan Kimi Raikkonen mengalami kemalangan pada selekoh pertama.

    Hamilton berada dalam kesukaran bagi kelayakan, bermula dari kedudukan kelima, tetapi memandu dengan bijak dalam keadaan cuaca basah dan di bawah lampu untuk membuka jurang pendahuluan 28 mata ke atas Vettel dalam kedudukan senarai.

    Pemandu dari Britain berusia 32 tahun itu, kini sudah memenangi tiga perlumbaan terakhir, tetapi dia berkata perjalanan masih panjang dengan berbaki enam perlumbaan grand prix dalam musim ini, bermula dengan Malaysia pada minggu depan.

    Hamilton adalah salah seorang dari 12 pemandu yang menyudahkan perlumbaan dalam keadaan basah di litar Singapura, yang bermula dengan kemalangan dan menyaksikan tiga kereta keselamatan dikerahkan.

    Pemandu di petak utama Vettel dan Raikkonen di petak ketiga mengepit Max Verstappen dari Red Bull ketika berada dalam selekoh pertama, yang berpunca dari kemalangan yang menyingkirkan ketiga–tiga pelumba dan juga menamatkan perlumbaan bagi Fernando Alonso dari McLaren.

    Verstappen berkata langkah Vettel untuk memotongnya pada awal perlumbaan adalah risiko yang tidak seharusnya diambil oleh pemandu dari Jerman itu, yang mendahului 20 mata pada Julai lalu tetapi kini mungkin menyaksikan musimnya terjejas.

    “Jika anda berjuang bagi kejuaraan dunia anda tidak seharusnya menanggung risiko dengan mengepit seseorang seperti itu. Anda boleh melihat apa yang berlaku,” Verstappen memberitahu Sky Sports. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda