FA: Conte sudah ubah budaya Chelsea

LONDON, 6 Jan – Pengurus Chelsea Antonio Conte sudah mengubah ‘sifat ganas’ pasukannya, kata jawatankuasa disiplin Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) berikutan pertembungan panas dengan Manchester City, musim ini.

Skuad The Blues didenda 100,000 pound sterling atas pembabitan mereka di penghujung perlawanan yang berakhir dengan kemenangan 3-1 ke atas City Disember lalu.

Chelsea dikenakan hukuman lebih berat berbanding City yang didenda 35,000 pound sterling sekalipun suruhanjaya kawal selia bebas mendapati kedua-dua pihak ‘sama-sama bersalah’.

Alasan bertulis terhadap hukuman terbabit yang diterbitkan FA semalam menunjukkan kedua-dua kelab mengakui melanggar peraturan salah laku yang mengawal pemain serta kakitangan.

Enam kesalahan dilakukan sebelum 2011 turut dipertimbangkan sebelum hukuman terhadap Chelsea diputuskan namun kelab dari Barat London itu bertegas mereka tidak patut dihukum begitu teruk kerana Conte baru mengendalikan pasukan itu ketika pra-musim.

Wakil Chelsea, Jim Sturman ‘menerima yang kelab itu dikenakan hukuman lebih berat disebabkan rekod mereka sebelum itu’, menurut alasan bertulis.

Chelsea juga didenda 290,000 pound sterling selepas bertelagah dengan Tottenham pada Mei lalu dengan jumlah denda keseluruhan 495,000 pound. City dalam pada itu turut mempunyai rekod ‘buruk’ sebelum ini.

“Ketika membuat keputusan, suruhanjaya kawal selia juga mengambil kira kejadian itu merupakan insiden ketujuh melibatkan Chelsea,” menurut ulasan itu lagi.

“Suruhanjaya menganggap ia sebagai faktor amat buruk yang digambarkan dengan peningkatan denda kewangan.” – AFP