FA England bersedia adakan perlawanan tanpa peminat

LONDON, 4 MEI – Pengerusi Persatuan Bolasepak England, Greg Clarke percaya bahawa peminat tidak akan dibenarkan untuk memasuki stadium ‘dalam masa terdekat ini’ dan dia memberi amaran bahawa krisis koronavirus boleh menyebabkan kerugian kepada badan pentabdiran itu sebanyak 300 juta pound.

Bola sepak di seluruh England telah digantung, dengan musim 2019/2020 di kesemua liga di bawah divisyen empat teratas telah disahkan berakhir.

Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan mengenai kempen 2020/2021 akan berdepan dengan kekacauan besar disebabkan oleh garis panduan penjarakan sosial.

“Dengan penjarakan sosial sedang berkuat kuasa untuk beberapa waktu yang akan datang, kita menghadapi perubahan besar pada keseluruhan ekosistem bola sepak,” tulis Clarke dalam sepucuk surut kepada Majlis FA.

“Sebagai contoh, ia adalah sukar untuk menjangkakan keramaian peminat, yang menjadi nadi permainan, akan kembali menyaksikan perlawanan dalam masa terdekat.”

Greg Clarke dari FA England percaya peminat tidak akan dibenarkan untuk memasuki stadium ‘dalam masa terdekat ini’ dan dia memberi amaran bahawa krisis koronavirus boleh menyebabkan kerugian kepada badan kerajaan. – AFP

Liga Perdana Inggeris masih berharap untuk menghabiskan musim mereka tanpa keha- diran peminat, dengan ‘Project Restart’ menyasarkan untuk mengurangkan kerugian yang dianggarkan sebanyak 1 bilion pound jika kempen ini tidak boleh disambung.

Difahamkan kelab-kelab liga utama diberitahu Jumaat lalu bahawa baki perlawanan musim ini mesti dilangsungkan di tempat neutral.

Dalam hal lain, harga tiket di pintu masuk merupakan peratus pendapatan kelab yang jauh lebih tinggi tanpa perjanjian televisyen yang menguntungkan, terdapat keraguan sama ada musim baharu nanti boleh dimulakan tanpa penyokong dibenarkan untuk memasuki stadium.

FA turut terjejas oleh pembatalan sekurang-kurangnya empat perlawanan England dan penggantungan Piala FA.

Clarke berkata pemotongan bajet sebanyak 75 juta pound adalah dikira ‘munasabah’.

“Jika perkara buruk berlaku, ia adalah perlu untuk empat tahun ke hadapan untuk mengimbangi defisit 300 juta pound,” tambahnya.

“Jelas sekali ia akan memberi impak kepada banyak rancangan kami di setiap sudut perlawanan akan terjejas dan projek yang kami nilai akan terkesan.” – AFP