Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 16 April – Rombongan daripada Persatuan Filipina Brunei (FAB) cawangan Daerah Belait dan Art of Living (AoL), hari ini, telah membuat lawatan sambil mengadakan beberapa aktiviti amal di Rumah Orang-Orang Tua Pekan Seria.
Lawatan kedua-dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu antara lain bertujuan untuk membantu menceriakan penghuni-penghuni rumah orang-orang tua dan juga untuk meluangkan masa beramah mesra dengan kalangan warga emas di sana.
Rombongan seramai lebih 50 orang itu turut mengadakan beberapa aktiviti sepanjang lawatan mereka yang dihasratkan untuk menghiburkan penghuni pusat berkenaan.
Setiausaha FAB, Venus Gabia memberitahu bahawa lawatan tersebut merupakan projek pertama persatuan mereka bagi tahun ini bagi kawasan Daerah Belait dan mereka merasa warga emas perlu diberikan perhatian dan kasih saying.

Melalui lawatan itu juga, ia dihasratkan untuk mendidik kalangan ahli-ahli mereka untuk sentiasa menanamkan rasa kasih sayang dan prihatin terhadap kalangan warga emas seperti juga mereka sentiasa memberikan kasih sayang kepada kedua-dua orang tua mereka.
“Kami merasa warga emas yang menjadi penghuni di Rumah Orang-orang Tua ini turut berhak untuk diberikan kasih sayang oleh masyarakat awam, memandangkan mereka jauh daripada keluarga dan ada juga yang langsung tidak mempunyai keluarga di sini,” katanya.
Antara aktiviti yang mereka lakukan termasuk menyediakan hidangan makan tengah hari dan makan bersama-sama dengan penghuni rumah berkenaan.
Selain itu, kedua-dua NGO tersebut menyerikan lagi suasana dengan persembahan nyanyian dan juga tarian yang begitu berkesan sehingga penghuni-penghuni rumah tersebut nampak riang dan bergelak ketawa.