Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 APRIL – Persatuan Bolasepak Negara Brunei Darussalam (FABD) telah melancarkan jersi pasukan kebangsaan Negara Brunei Darussalam pada majlis yang berlangsung di Restoran Dynasty, Gadong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Presiden FABD, Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan.
Majlis tersebut telah dimulakan dengan tayangan video sebelum pelancaran jersi home & away bagi pemain dan penjaga gawang dalam pasukan berkenaan.
Pengiran Haji Matusin dalam ucapannya mengulas mengenai pelancaran jersi terbaharu tersebut yang menurutnya suatu kedatangan yang sudah lama diidam-idamkan.
Sementara itu, Timbalan Presiden FABD, Haji Salleh Bostaman bin Zainal Abidin selaku pengerusi pemasaran dan komersial dalam ucapannya pula menjelaskan bahawa memakai jersi kebangsaan mewakili negara adalah suatu penghormatan kerana tidak semua orang mampu serta dapat diberi kesempatan sedemikian untuk menyarung jersi kebangsaan tersebut.
Majlis turut diisikan dengan bacaan Doa Selamat dan seterusnya bersungkai bersama.