Oleh James Kon
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD) semalam menandatangani perjanjian tajaan bersama Kumpulan Syarikat Leesin yang akan menaja Purion Ionized Water untuk Liga Super Brunei 2023.
Perjanjian berkenaan diadakan di teater kuliah FABD. Menandatangani perjanjian bagi pihak FABD ialah Presiden FABD, Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan dengan Ketua Setiausaha, Mohammad Shahnon bin Haji Mohammad Salleh. Sementara bagi pihak Kumpulan Syarikat Leesin diwakili oleh Pengarah, Isaac Meng Yang dan Pengurus Jualan, Ronald Lee.
Pengiran Haji Matusin dalam ucapannya berkongsi, “Semalam FABD mengadakan Forum Bola Sepak dan dalam usaha untuk memajukan lagi bola sepak di negara ini, sudah pasti ia memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak berkepentingan.
“Hari ini, FABD menerima tajaan daripada Purion Water dan daripada tajaan itu akan membawa banyak manfaat kepada FABD dan skuad kebangsaan serta acara lain yang dianjurkan.”
Beliau menambah “Pihak kami amat berterima kasih atas tajaan dan kemurahan hati awda menaja FABD.
Saya berharap lebih banyak entiti perniagaan juga akan tampil memberikan tajaan untuk membantu membangunkan bola sepak ke peringkat tertinggi.”
Sementara itu, Isaac Meng Yang menekankan, “Saya berharap tahun ini akan ada peningkatan prestasi yang dapat memecahkan rekod untuk pasukan Brunei, saya sangat gembira kerana FABD mempunyai pembekal penghidratan rasmi yang baharu.”
