FABD puji kepimpinan FIFA

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Persatuan Bolasepak Negara Brunei Darussalam (FABD) memuji kepimpinan FIFA dalam melihat situasi semasa pandemik COVID dan norma baharu yang ditunjukkan dalam aktiviti di atas padang baru-baru ini terutamanya menerusi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022, Piala Arab FIFA dan Piala Dunia Kelab FIFA.

Presiden FABD, Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan berucap semasa Kongres FABD ke-7 di Hotel Centrepoint di Gadong kelmarin.

Beliau dalam ucapannya menyatakan tahniah kepada badan induk bola sepak dunia atas kejayaan menganjurkan Kongres FIFA ke-72 yang diadakan pada 31 Mac di Doha, Qatar.

Beliau juga berterima kasih kepada Presiden FIFA, Gianni Infantino atas kepercayaan, keyakinan dan komitmen terhadap Negara Brunei Darussalam dan tidak melupakan sokongan daripada Sekretariat FIFA.

Dalam majlis tersebut, Pengiran Haji Matusin turut mengucapkan tahniah kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) atas kejayaan Kongres AFC secara maya pada 18 Mei lalu dan melahirkan harapan agar kongres yang berikutnya pada Februari 2023 akan diadakan dalam suasana fizikal.

Pengiran Haji Matusin semasa sesi bergambar ramai pada majlis tersebut. – FABD

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Presiden AFC, Sheikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa atas solidariti dan komitmen yang kuat untuk meningkatkan lagi persefahaman dalam kalangan persatuan dengan pengenalan Program Peningkatan AFC.

Beliau menambah bahawa dengan adanya program itu, ia akan memberi manfaat kepada FABD.

Mengakhiri ucapannya, Pengiran Haji Matusin memuji Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) atas kebersamaan dan sokongan berterusan FABD untuk membawa pasukan kebangsaan mereka menyertai pertandingan AFF.

Beliau juga tidak lupa mengucapkan tahniah kepada AFF atas kejayaan menjadi tuan rumah Piala Suzuki AFF Disember lalu, serta pertandingan lain yang melibatkan bola sepak dan futsal lelaki, remaja dan wanita di sekitar rantau ASEAN.

Terdahulu, beliau menegaskan badan induk bola sepak negara kekal mematuhi protokol COVID, garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan.

Antara acara kemuncak kongres termasuk pelantikan pengerusi dan timba-lan pengerusi Jawatankuasa Audit dan Pematuhan serta laporan aktiviti dan pergerakan kewangan FABD sepanjang 2021.

Perwakilan FIFA dan AFC menyertai kongres tersebut secara maya.