Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan FABD
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 DIS – Persatuan Bolasepak Brunei Darussalam (FABD) melakar pencapaian bersejarah tersendiri apabila memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) yang berlangsung di Bangunan Ibu Pejabat SAFF, Riyadh, Arab Saudi.
Presiden FABD, Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan dalam ucapannya pada majlis tersebut antara lain menyatakan bahawa penandatanganan tersebut menunjukkan hubungan mesra antara kedua-dua buah persatuan bola sepak serta hubungan mesra yang terjalin antara kedua-dua buah kerajaan.
Antara yang hadir pada majlis tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Dato Seri Setia Haji Yusoff bin Haji Ismail dan General Secretary SAFF, Ibrahim S Alkassim.
“MoU ini akan mengeratkan lagi hubungan sukan yang sihat. Ia adalah satu usaha untuk merapatkan hubungan kita, meningkatkan persefahaman budaya dan mendekatkan kedua-dua negara secara khusus melalui bola sepak.
“FABD telah lama mengagumi dan memuji usaha serta keprihatinan SAFF terhadap perkara yang terbaik untuk masa depan bola sepak di rantau ini, usaha bagi menambah baik dan membawa semua orang ke tahap yang sama,” tambah Pengiran Haji Matusin.
Beliau seterusnya berharap dengan termeterainya MoU berkenaan, ia akan dapat memberi manfaat dan mencapai matlamat serta objektif bagi pasukan bola sepak lelaki, wanita dan remaja sama ada di FABD mahupun di SAFF.