FABD sumbang mesin fogging

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Sebagai salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya, Persatuan Bolasepak Brunei Darussalam (FABD) menghulurkan bantuan tenaga mensanitasi dan membersihkan Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Masjid Kampung Pulaie, Masjid Pintu Malim dan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan).

Dalam masa yang sama, FABD menyumbangkan lima unit mesin fogging berserta 15 larutan cecairnya kepada setiap tempat bagi menguatkan lagi usaha pihak pengurusan premis-premis berkenaan dalam memastikan bangunan mereka sentiasa bersih dan selamat bagi kegunaan orang ramai.

Penyerahan sumbangan daripada FABD kepada Pusat Ehsan berlangsung di Pusat Ehsan, hari ini, dengan sumbangan daripada FABD disampaikan oleh Presiden FABD, Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan kepada Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Raja Pengiran Haji Abdul Momin.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Pemegang Amanah Pendidikan Pusat Ehsan, Dato Paduka Dr Haji Omar bin Haji Khalid; ahli Lembaga Pemegang Amanah Pusat Ehsan, Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff dan ahli Jawatankuasa Pengurusan Pusat Ehsan, Simon Leong serta ahli Jawatankuasa Eksekutif FABD bersama-sama wakil Persatuan Bola Sepak Daerah dan Persatuan Pengadil Bolasepak Negara Brunei Darussalam.

Pada majlis berkenaan, Pusat Ehsan turut menerima 4,000 keping pelitup muka yang disumbangkan oleh Boustead Sdn Bhd dan 200 kit ujian ART yang disumbangkan oleh Standard Insurance.

FABD berharap mesin fogging berkenaan dapat memberikan sokongan padu kepada pihak pengurusan premis-premis itu dalam persiapan mereka menuju kepada fasa peralihan akan datang termasuk pembukaan semula bangunan-bangunan mereka. Demonstrasi penggunaan mesin-mesin berkenaan juga telah dilaksanakan oleh Sekretariat FABD.

Pengiran Haji Matusin menyampaikan sumbangan daripada FABD kepada Pusat Ehsan yang diterima oleh Pengiran Datin Hajah Noraini dalam majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung di Pusat Ehsan, kelmarin.