FABD tamatkan BSL 2021

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Persatuan Bolasepak Brunei Darussalam (FABD) telah memutuskan untuk menamatkan liga-liga FABD edisi 2021 untuk memberikan ruang kepada pihak-pihak tertentu dalam menyesuaikan diri dengan norma-norma baharu sebaik sahaja negara membukakan aktiviti-aktiviti keramaiannya semula.

Dalam kenyataan yang diterima daripada FABD, Liga Super Brunei 2021 (BSL 2021) akan ditamatkan dan FABD akan memulakan persiapan bagi penganjuran liga-liga tersebut bagi edisi 2022.

Keputusan ini dibuat untuk mengambil kira masa yang diperlukan bagi kelab-kelab dan akademi-akademi bola sepak dalam memastikan kesemua pemain-pemain telah melengkapkan vaksinasi mereka memandangkan norma-norma baharu yang dikawal selia oleh pihak-pihak berkuasa tempatan memerlukan mereka berbuat demikian sebelum menyertai apa jua jenis perhimpunan termasuk sukan-sukan berpasukan seperti bola sepak.

Pada masa yang sama, jangka masa yang diberikan juga boleh digunakan untuk mengemas kini dan menyepadukan semua amalan terbaik ke dalam prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan dengan wabak COVID-19. 

Ini bagi memastikan semua orang yang terlibat dalam perjalanan bola sepak di Negara Brunei Darussalam adalah selamat daripada wabak tersebut, di samping menjadikan mereka sebagai sebuah masyarakat yang lebih bertanggungjawab dalam menjaga kesejahteraan diri.

Selain itu, kelab-kelab dan akademi-akademi bola sepak juga diingatkan bahawa ‘Transfer Window’ masih ditetapkan dari 7 Disember 2021 hingga 28 Februari 2022.

Kesemua kelab dan akademi tidak dibenarkan untuk memindahkan mana-mana pemain sebelum dan selepas tempoh tersebut. FABD juga ingin mengingatkan semua agar sentiasa menjaga keselamatan dan kebersihan diri, dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam menjalankan sebarang aktiviti.