FABD umum laman sesawang baharu

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Persatuan Bola sepak Brunei Darussalam (FABD) telah mengumumkan secara rasmi domain laman sesawang baharunya www.the-fabd.com.

Menurut kenyataan yang diterima daripada FABD hari ini, penggunaan domain baharu ini merupakan sebahagian daripada usaha penjenamaan semula FABD bertujuan menyuntik perkembangan baharu dalam arena bola sepak, yang termasuk peningkatan dalam bidang komunikasi di antara persatuan dan pihak berkepentingan.

Laman sesawang baharu itu bersifat mesra pengguna, dengan maklumat mengenai sukan termasuk ranking, pengemaskinian dan dokumentar boleh diakses dengan senang hanya dengan mengklik peranti telefon pintar. Dalam jangka panjang, FABD juga ingin menambah lebih banyak fungsi kepada laman sesawang untuk menyokong keperluan komunikasinya.

Menerusi pengaktifan domain baharu ini, FABD ingin mengumumkan semua alamat e-mel yang digunakan sebelum ini juga telah berubah. Persatuan boleh dihubungi menerusi alamat presiden@the-fabd.com, general.secretary@the-fabd.com dan secretariat@the-fabd.com.

Selain itu, FABD juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkepentingan atas sokongan mereka dan berharap mereka akan terus bersama persatuan dalam perjalanan ke arah memberikan bola sepak berkualiti di Brunei Darussalam.