Facebook ancam sekat perkongsian berita

SAN FRANCISCO, 1 SEPT – Facebook mengugut akan menyekat penerbit dan individu Australia daripada berkongsi berita di platformnya dalam reaksi terhadap satu langkah Australia yang mungkin mewajibkannya membayar pampasan kepada pertubuhan media atas penggunaan berita mereka.

Rangkaian sosial itu berkata tindakan Australia akan memaksanya membayar jumlah wang yang tidak terhad untuk maklumat yang hanya membentuk sebahagian kecil perkhidmatannya.

Langkah itu akan memaksa Facebook memilih di antara ‘sama ada membuang semua berita atau menerima sistem yang membenarkan penerbit mengenakan bayaran untuk isi kandungan mereka pada harga yang tidak mempunyai had,” tulis pengarah urusan syarikat untuk Australia dan New Zealand, Will Eaton, dalam blog. “Tidak ada perniagaan yang boleh beroperasi dalam cara itu.”

Campbell Brown, bekas wartawan NBC dan CNN yang memegang jawatan naib presiden perkongsian berita global Facebook, berkata ugutan itu ‘tidak ada kena mengena dengan komitmen global kami terhadap kewartawanan.” Laman Brown, yang memetik pelbagai program individu Facebook bertujuan menyokong pertubuhan berita, diberi tajuk ‘Komitmen kami berterusan terhadap kewartawanan.’

Ugutan keluar selepas tempoh rundingan mengenai draf undang-undang berakhir pada minggu lalu dan kerajaan Australia berusaha mencapai persetujuan mengenai keputusan muktamadnya.

Menteri Komunikasi Australia Paul Fletcher enggan berkata sama ada beliau fikir Facebook akan melaksanakan ugutannya.

Bendahari Australia Josh Frydenberg berkata undang-undang yang dicadangkan akan ‘mewujudkan landskap media yang lebih mampan dan melihat bayaran untuk isi kandungan asli.”

Frydnberg berkata beliau berharap Parlimen akan meluluskan perundangan pada tahun ini. – AP

Gambar fail menunjukkan tanda Facebook di ibu pejabat di Menlo Park, California. – AP