Facebook didenda 50.5 juta pound

LONDON, 20 OKT – Pemerhati persaingan Britain hari ini berkata mereka telah mengenakan denda kepada syarikat gergasi rangkaian media sosial, Facebook, dengan lebih 50 juta pound kerana gagal untuk memberikan maklumat mengenai pengambilalihan syarikat animasi grafik, Giphy.

Pihak berkuasa Persaingan dan Pasaran (CMA) berkata denda berjumlah 50.5 juta pound dikenakan kerana ‘keengganan untuk melaporkan semua maklumat yang diperlukan’ mengenai pembelian pada tahun lalu.

“Kami memberi amaran kepada Facebook sekiranya mereka enggan memberikan maklumat penting kepada kami ia adalah melanggar undang-undang, malahan mereka tewas dalam dua rayuan semasa di mahkamah secara berasingan, Facebook terus berdegil enggan mengikut undang-undang yang ditetapkan,” kata Joel Bamford, pengarah kanan CMA dalam kenyataan.

“Denda tersebut bertindak sebagai amaran kepada mana-mana syarikat yang merasakan mereka boleh mengatasi undang-undang.”

CMA berkata ini merupakan kali pertama sebuah syarikat didapati melanggar undang-undang seperti arahan ini.

“Amaran berulang kali diberikan kepada Facebook, CMA menganggap kegagalan Facebook untuk memberikan kerjasama adalah dilakukan secara sengaja.”

Secara berasingan, CMA mendenda Facebook 500,000 pound kerana menukar dua ketua pegawai kepatuhan dalam dua kejadian tanpa meminta kebenaran.

Facebook mengumumkan pada Mei 2020 ia telah membeli Giphy yang dilaporkan sebanyak AS$400 juta. – AFP

Gambar fail 28 Mac 2018 menunjukkan logo Facebook di Nasdaq MarketSite, New York. Facebook didenda lebih 50 juta pound kerana gagal memberikan maklumat mengenai pembelian syarikat Giphy. – AP