Facebook haramkan firma Israel

LONDON, 17 Mei – Facebook, menghadapi kritikan kerana membolehkan gangguan pilihan raya berlaku di seluruh dunia, berkata ia akan menutup beratus akaun yang dikaitkan dengan sebuah firma pakar runding politik Israel.

Platform media sosial itu berkata ia akan mengharamkan syarikat Israel, Kumpulan Archimedes, yang mengumumkan di laman webnya bahawa ‘ia berbangga kerana memenangi kempen di seluruh dunia.’

Syarikat gergasi Amerika Syariakt (AS) itu berkata semalam ia telah mengeluarkan 265 akaun di platform Facebook dan Instagram, Laman Facebook, Kumpulan dan acara ‘yang terbabit dalam tingkah laku yang tidak sah.’

Aktiviti laman menumpu pada beberapa negara Afrika dan di Latin Amerika dan Asia Tenggara, dan bertujuan mempengaruhi pengundi dengan menyebarkan maklumat yang salah.

Individu yang berada di sebalik rangkaian palsu cuba menyembunyikan identiti mereka tetapi beberapa aktiviti dikaitkan kepada Kumpulan Archimedes, yang dikatakan oleh Facebook telah ‘berkali-kali mencabul’ dasarnya.

“Pertubuhan ini dan kesemua subsidiarinya kini diharamkan daripada Facebook, dan ia telah mengeluarkan surat berhenti,” tulis ketua dasar keselamatan siber syarikat AS, Nathaniel Gleicher, dalam satu blog.

Tidak adanya komen daripada Archimedes, yang berkata ia adalah pemimpin dalam ‘kempen besar-besaran di seluruh dunia’ menerusi kepakarannya dalam rundingan, lobi dan media sosial. Kira-kira 2.8 juta akaun individu mengikut satu atau lebih Laman diharamkan, dan AS$812,000 dibelanjakan ke atas iklan berkaitan di Facebook dari tahun 2012 hingga April tahun ini, kata Gleicher.

Sembilan acara awam dianjurkan oleh Laman, terbaharu pada bulan ini, tetapi Facebook berkata ia tidak dapat mengesahkan sama ada mana-mana acara berkenaan telah diadakan.

Facebook berusaha mematahkan kritikan mengatakan ia telah menutup mata kepada pelakon politik yang menyalahgunakan platformnya untuk mempengaruhi pilihan raya, termasuk pengundian presiden 2016 di AS. – AFP

Gambar fail bertarikh 16 Julai 2013 menunjukkan papan tanda di ibu pejabat Facebook di Menlo Park, Calif. Facebook berkata kelmarin bahawa ia telah mengharamkan Archimedes, sebuah syarikat Israel yang mengendalikan kempen pengaruh bertujuan menjejaskan pilihan raya di pelbagai negara dan telah membatalkan berpuluh akaun yang terlibat dalam penyebaran maklumat salah. – AP