Facebook lancar forum audio Hotline

SAN FRANCISCO, 8 APRIL – Facebook hari ini melancarkan sebuah forum eksperimen online digelar Hotline, satu cubaan oleh gergasi media sosial itu untuk menyaingi trend audio secara langsung yang dijadikan popular oleh aplikasi seperti Clubhouse.

Syarikat media sosial kukuh itu berusaha untuk mencegah pengguna daripada ditarik oleh saingan online yang menggunakan audio sahaja.

Aplikasi Facebook itu bagaimanapun hampir serupa dengan sesi Ask Me Anything di Reddit dan Clubhouse, satu-satunya aplikasi audio sosial media sensasi yang dilancarkan setahun lalu dan berkembang pesat semasa pandemik.

Hotline akan menyediakan pengguna dengan gabungan suara, teks dan pilihan video untuk menyertai perbincangan online bersama hos.

Pengguna boleh menyoal dalam bentuk tulisan, yang tidak ada di Clubhouse. Speaker dalam pada itu boleh memilih siapa yang akan dijemput ‘ke pentas’ untuk bercakap.

“Dengan Hotline, kami berharap dapat memahami bagaimana multimedia interaktif, secara langsung bagi Soal dan Jawab boleh membantu orang ramai belajar daripada pakar dalam bidang-bidang seperti kemahiran profesional, sama seperti ia membantu para pakar membina perniagaan mereka,” kata seorang jurucakap wanita Facebook memberitahu AFP. –AFP