Facebook lancar perkhidmatan perbualan video baharu

SAN FRANCISCO, 26 APRIL – Facebook pada Jumaat melancarkan perkhidmatan perbualan video baharu dengan ‘bilik’ maya di mana orang boleh mengunjungi untuk melawat kawan, menyasarkan pengguna yang beralih kepada platform Zoom ketika pandemik.

Menerusi aplikasi Facebook Messenger, pengguna boleh memulakan sesi panggilan video yang boleh disertai oleh 50 orang kawan dan berlangsung seberapa lama yang diingini oleh mereka, walaupun jika mereka tidak mempunyai akaun Facebook.

Tidak seperti platform sidang video kerja seperti Zoom, ‘Bilik Messenger’ dikhaskan untuk bersosial bersama kawan dan keluarga sama ada ia hari jadi, masa bersantai, kelab buku atau kumpulan ibu bapa.

“Ia dicipta supaya lebih bersifat spontan dan santai,” kata ketua eksekutif Mark Zuckerberg ketika memberikan taklimat mengenai Bilik Messenger kepada AFP. “Saya hanya membuka komputer atau telefon saya dan orang yang jarang menelefon saya boleh datang melawat.”

Pelancaran diadakan di tengah penggunaan Zoom yang meningkat, direka sebagai platform video perniagaan, dan perkhidmatan perbualan dalam talian lain. Pengguna Facebook boleh mewujudkan bilik maya dan memutuskan siapa yang dijemput untuk menyertainya, menurut Zuckerberg.

Facebook melancarkan perkhidmatan perbualan video baharu dengan ‘bilik’ maya di mana pengguna boleh ‘melawat’ kawan, menyasarkan pengguna yang beralih kepada platform Zoom ketika pandemik. – Agensi

“Saya boleh duduk bersantai di sofa pada hujung minggu dan menghantar satu jemputan kepada semua kawan saya untuk datang dan ‘melepak dalam bilik,’ kata Zuckerberg.

Dalam langkah luar biasa, orang tidak memerlukan akaun Facebook atau aplikasi untuk mengunjungi Bilik Messenger.

“Orang hanya hantar satu pautan kepada nenek atau sesiapa,” kata Zuckerberg. – AFP