Facebook mahu ambil tindakan undang-undang terhadap Thailand

BANGKOK, 25 OGOS – Facebook hari ini memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Thailand susulan arahan untuk menyekat kumpulan aktivis pro-demokrasi mengadakan perbincangan mengenai monarki, subjek pantang larang di negara itu.

Sekatan berkenaan merujuk kepada keputusan Facebook menyekat kumpulan Royalist Marketplace – sebuah kumpulan dengan 1 juta ahli di media sosial itu yang banyak memaparkan status mengenai keluarga diraja Thailand.

Facebook mendakwa mendapat tekanan daripada kerajaan Thailand untuk menyekat beberapa kenyataan politik di negara itu dengan mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap wakil Facebook di Thailand.

Jurucakap media sosial itu mengatakan pihaknya kini turut mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan Thailand.

“Permintaan (sekatan) seperti ini berat, bertentangan dengan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan memberi kesan kepada masyarakat untuk mengekspresikan diri,” kata jurucakap itu.

“Kami berusaha untuk melindungi dan mempertahankan hak semua pengguna internet dan bersedia mencabar permintaan ini.” Kementerian Digital Ekonomi dan Masyarakat Thailand masih tidak memberi sebarang penjelasan mengenai perkara itu. – AFP

Gambar petikan dari video menunjukkan Pavin Chachavalpongpun, pentadbir kumpulan Facebook, Royalist Marketplace menyampaikan mesej pra-rakaman di skrin sebelum menghadiri rapat antikerajaan pada 10 Ogos lalu. – AP