NEW YORK, 7 Ogos – Facebook telah meminta bank-bank besar Amerika Syarikat (AS) agar berkongsi data pelanggan bagi membolehkannya memajukan perkhidmatan baharu dalam platform pesanan teks Messenger rangkaian sosial itu, menurut sumber perbankan kepada AFP semalam.
Facebook telah mengadakan perbincangan bersama Chase, JPMorgan, Citibank dan Wells Fargo beberapa bulan yang lalu, kata sumber berkenaan yang tidak mahu dikenali.
Rangkaian sosial yang berpangkalan di Silicon Valley itu turut menghubungi Bancorp AS, menurut Wall Street Journal, yang pertama melaporkan berita itu.
Facebook, yang berdepan kritikan teruk kerana berkongsi data pengguna dengan ramai pembangun aplikasi, berminat dalam maklumat termasuk transaksi kad bank, memeriksa baki akaun dan lokasi pembelian dibuat, menurut sumber.
Facebook mengesahkan langkah berkenaan dalam satu kenyataan kepada AFP, tetapi berkata ia tidak meminta bagi data transaksi.

“Seperti kebanyakan syarikat Internet bersama perniagaan perdagangan, kami bergabung dengan bank-bank dan syarikat kad kredit untuk menawarkan perkhidmatan seperti perbualan pelanggan atau pengurusan akaun,” kata Facebook.
Matlamatnya adalah untuk mewujudkan cara baharu untuk menyepadukan Messenger dan melancarkan interaksi antara bank dan pelanggan, menurut laporan.
Perkhidmatan pesanan telefon pintar itu mempunyai 1.3 bilion pengguna.
“Ideanya adalah penghantaran pesanan teks dengan bank boleh menjadi lebih baik daripada menunggu di telefon, dan ia merupakan satu pilihan,” menurut kenyataan. Citigroup enggan memberi komen mengenai kemungkinan mengadakan perbincangan bersama Facebook mengenai Messenger. – AFP