Facebook padam laman berita tentera Myanmar

BANGKOK, 21 FEB – Facebook bertindak menutup ‘halaman True News’ kendalian perkhidmatan maklumat junta tentera Myanmar atas alasan kandungannya menggalakkan keganasan.

Jurucakap Facebook berkata, laman Pasukan True News Tatmadaw ditutup kerana melanggar Standard Komuniti ditetapkan khususnya menggalakkan keganasan dan kekejaman.

Gergasi media sosial itu menyekat ratusan halaman berkaitan tentera sejak beberapa tahun lalu, selepas dikritik kerana gagal mengambil tindakan sewajarnya terhadap hantaran status jelik di negara itu.

Kebanyakan kandungannya mensasarkan minoriti Islam etnik Rohingya menyebabkan kira-kira 750,000 etnik itu melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh susulan tindakan kejam tentera pada tahun 2017.

Tentera Myanmar ketika ini meningkatkan tindakan kekerasan terhadap kempen bantahan rakyat besar-besaran yang mendesak pembebasan pemimpin digulingkan, Aung San Suu Kyi. – AFP

Logo Aplikasi Facebook yang dipaparkan pada telefon pintar di Arlington, Virginia. Facebook menyekat perkongsian berita tentera di Myanmar. – AFP