Fadzil tiada niat persenda ATM

Pelakon dan penerbit, Fadzil Zahari menyangkal tuduhan mempunyai niat mempersendakan pasukan keselamatan negara menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram, beberapa hari lalu.

Sebaliknya, pemilik Prokuya Studios dalam satu lagi hantaran terbaharu yang dimuat naik menjelaskan, niatnya hanya mahu membantu mencari insan yang sudi berkongsi wang bagi membeli jentera sama bagi digunakan ketika kecemasan terutama musim banjir.

“Niat saya sudah disalah erti. Tiada langsung terdetik dalam hati mahu mempersendakan pasukan keselamatan negara.

“Namun, ia terpulanglah pada tafsiran masing-masing. Niat saya mahu mencari orang yang dapat berkongsi membeli jentera yang boleh digunakan ketika kecemasan.

“Saya mohon maaf jika ada yang terasa hati dengan hantaran yang dimuat naik mengenai bot polis dan bomba.

“Bagi yang komen umpama saya sindir Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh tengok semula gambar berkenaan. Ia tidak kaitan dengan aset jabatan berkenaan,” katanya kepada BH Online.

Namun, katanya, dia faham mungkin warganet mewakili anggota penguatkuasa, jadi mereka terasa hati.

“Memang niat saya ingin mengajak sesiapa sahaja atau badan bukan kerajaan (NGO) yang berminat untuk bersama berkongsi membeli jentera ini. Itu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Fadzil memohon orang ramai agar ‘tag’ namanya sekiranya terdapat artikel berkaitan yang dikatakan mempersendakan ATM. – Agensi

Fadzil turut terbabit dalam misi bantuan banjir sekitar Padang Jawa, Klang, baru-baru ini. – Agensi