Faezah Elai harap peniaga tidak tipu pelanggan

Penampilan pelakon Faezah Elai bertudung labuh dipuji warganet dan menjadi inspirasi ramai sehinggakan ada yang berminat mengenakan gaya yang sama.

Namun dalam masa sama, Faezah menyedari ada beberapa pihak mengeluarkan koleksi tudung menggunakan namanya tanpa kebenaran.

Bimbang ada yang menjadi mangsa penipuan, Faezah memberitahu dia tidak pernah mengeluarkan sebarang jenama tudung dan terpaksa menjelaskan mengenai perkara ini setelah me-nerima banyak mesej peribadi (DM) daripada orang ramai di media sosial.

“Saya bersyukur apabila ada orang kata, ramai bertudung labuh selepas tengok saya pakai! Jadi ramai yang keluarkan tudung gaya ala-ala Faezah Elai.

“Saya sedar ada beberapa pihak menggunakan nama saya untuk jual tudung anda, saya diam sebab seronok melihat ramai mula menutup dada mereka.

Faezah Elai menyedari ada beberapa pihak mengeluarkan koleksi tudung menggunakan namanya tanpa kebenaran. – Agensi

“Tapi disebabkan ramai sangat DM  saya tanya macam mana nak jadi ejen atau stokis tudung Faezah Elai. Saya nak beritahu, saya tak ada perniagaan tudung yang kamu nak jadi stokis tu,” katanya menerusi Instagram.

Sementara itu isteri kepada pengarah Heykal Hanifah ini berkata dia turut menerima pelbagai aduan mengenai penipuan tudung yang dibeli oleh pelanggan.

Justeru, dia meminta mana-mana peniaga tudung tidak menggunakan namanya secara langsung kerana bimbang akan menimbulkan kekeliruan kepada pembeli.

“Ramai yang mengadu kata kena tipu, beli yang tak original. Ada yang tanya macam mana nak tahu original atau palsu.

“Cuma untuk penjual, kalau anda nak buat tudung macam saya pakai pun beritahulah tudung inspirasi Faezah Elai ke, tudung ala-ala Faezah Elai ke! Janganlah nak letak tudung Faezah Elai sebab saya tak keluar tudung pun. Kasihan orang kena tipu.

“Jadi kalau boleh tolong beritahu kawan-kawan yang beli ‘tudung Faezah Elai’ tu supaya mereka tak kata saya ni menipu sebab saya tak ada perniagaan tudung. Kalau ada saya sendiri akan beritahu,” ujarnya. – Agensi