Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Dalam usaha memberikan kesedaran dan kefahaman kepada pegawai dan kakitangannya mengenai kepentingan memelihara rekod khususnya dalam bentuk kertas, Pusat Sejarah Brunei (PSB) mengadakan Bengkel Asas Pemeliharaan Rekod Kertas yang berlangsung dua hari bermula hari ini.
Bengkel yang berlangsung di Pusat Pengkajian Borneo, Anggerek Desa Berakas itu antara lain bertujuan untuk melatih peserta mengenai kaedah terbaik yang boleh dipraktikkan dalam memelihara rekod yang mengalami tanda-tanda kerosakan di bahagian masing-masing.
Timbalan Pengetua PSB, Awang Hanafi bin Haji Salleh dalam ucapan perasmiannya berkata, “Rekod penting dipelihara kerana ia mempunyai nilai sejarah dan merupakan warisan negara.
“Selain itu, rekod juga merupakan bahan bukti penting bagi sumber rujukan kerajaan, penyelidik dan orang awam, kerana jika ia tidak dipelihara akan mudah terdedah kepada agen perosak seperti serangga, fisikal atau manusia yang mana boleh membawa kerugian besar kepada negara,” jelasnya.
Pada bengkel itu, peserta juga berpeluang melihat pameran dan membuat lawatan ke ruang penyimpanan rekod di Bahagian Pusat Pengkajian Borneo dan melalui lawatan itu peserta juga dapat mengetahui dan mengenali dengan lebih dekat mengenai kaedah pemeliharaan rekod kertas.
Di samping itu, peserta juga diberikan pendedahan awal mengenai kaedah terbaik yang boleh dilaksanakan atau praktikkan sendiri oleh setiap peserta dalam memelihara rekod yang telah mengalami tanda-tanda kerosakan.
Bengkel tersebut telah disampaikan oleh pegawai PSB, Awang Muhammad Hefni bin Mahari dan Awang Muhammad Ataillah bin Haji Julaihi.