Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap cabaran yang dihadapi oleh orang kelainan upaya (OKU) di negara ini, Youth Setter Community (YseC) telah mengadakan Konvensyen Back2Communities di Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Antara pengisian pada konvensyen tersebut ialah taklimat mengenai Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNCRC) dan Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCRPD) yang disampaikan oleh Timbalan Setiausaha 1 SMARTER, Sharifah Adilah Surya binti Malai Haji Abdullah.
“Selaku pemimpin negara pada masa yang depan, golongan belia sudah semestinya perlu mengetahui mengenai hak-hak terhadap kanak-kanak dan orang kelainan upaya agar segala projek dan tugas yang akan dilaksanakan di negara ini tidak salah dan melanggar hak-hak yang telah ditetapkan,” jelas Sharifah Adilah Surya.


Lebih 40 orang belia menyertai Konvensyen Back2Communities yang dihasrat dapat melahirkan pemimpin belia yang berpotensi untuk menjayakan wawasan 2035 iaitu melahirkan belia yang berpendidikan tinggi dan berdaya saing.
Ketika ditemui, Sharifah Adilah Surya turut berharap agar para belia dan masyarakat di negara ini untuk bersikap lebih terbuka dalam menerima orang-orang kelainan upaya dan menaruh kepercayaan bahawa mereka mempunyai kemampuan untuk berdikari dan bukannya melihat mereka dengan simpati atau kesihan.
“Orang ramai malah seharusnya memberikan mereka dorongan serta sokongan agar mereka berasa lebih bermotivasi untuk menjalani hidup seperti orang lain di luar sana,” kata Sharifah Adilah Surya lagi.