Fahami faktor penurunan kes jangkitan yang perlahan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Sejak kebelakangan ini, jumlah kes jangkitan didapati masih di tahap yang sama dalam anggaran lebih 700 kes dalam sehari serta tidak menunjukkan penurunan.

Sehubungan itu, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada situasi tahap kes yang masih tidak menurun, antaranya dari segi pembaharuan cara pengesahan setiap individu yang didapati positif COVID dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan yang kini hanya dilakukan sebanyak satu ujian sahaja diperlukan, berbanding sebelumnya dengan dua kali ujian diperlukan. Begitu juga faktor yang disebabkan pengambilan dos penggalak didapati tidak begitu memberangsangkan dalam kalangan masyarakat pada masa kini.

Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar ketika mengulas mengenai jumlah kes tiada menunjukkan penurunan pada kebelakangan ini di mana masih dalam anggaran yang sama, semasa sidang media, hari ini.

“Memang dijangkakan jumlah kes ini tidak dapat terus menurun kepada jumlah kosong secepatnya. Sebelum ini turut dinyatakan bahawa pada bila-bila masa ia akan masih berada pada jumlah yang menaik mahu pun menurun sebagaimana yang kita alami kini.

“Maka dalam hal ini, walaupun berlakunya penurunan diharap kita semua tetap sentiasa berwaspada dari semasa ke semasa,” tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan.