Fahami, hayati doa

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Episod ke-16 program tazkirah dalam talian anjuran Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), hari ini, mengetengahkan tajuk ‘Berdoa, Fahami dan Hayati’.

Program Ramadan Mubarak bersama KUPU SB kali ini menampilkan Pemangku Timbalan Ra’es KUPU SB, Dr Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha (gambar bawah) yang menekankan bahawa selaku umat Islam digalakkan untuk sentiasa berdoa.

Jelasnya, doa merupakan satu ibadah sebagaimana yang telah dinyatakan juga dalam hadis, doa adalah untuk memohon dan meminta kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW, tekan beliau, mengajar sebahagian tentang doa dan sebahagiannya diajarkan kepada umatnya.

Doa-doa Ma’thur adalah doa-doa yang diamalkan dari Al-Quran, hadis ataupun amalan dari para sahabat dan juga daripada para ulama. Seperti contoh doa antara dua sujud yang dibaca mempunyai kelebihannya tersendiri.

“Jadi kita harus menghayati doa berkenaan dan memahaminya, begitu juga de-ngan doa-doa yang lain. Apabila berdoa, kita harus menjaga doa tersebut dengan menghayati dan memahami isi kandungan doa yang dipinta,” tambahnya.

Begitu juga dengan doa menghindari daripada wabak, selain daripada doa yang dipinta kita juga harus mengikuti nasihat dan saranan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan atau kerajaan.

“Dengan itu, berdoalah, fahamilah dan hayatilah doa kita agar diangkat oleh Allah SWT sebagaimana yang digalakkan kepada kita,” jelasnya.