Fahami istilah Ahli Sunnah Waljama’ah sebenar

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Umat Islam khususnya di Negara Brunei Darussalam perlu memerhatikan aspek pengambilan dan penyebaran maklumat-maklumat yang diperolehi dari pelbagai sumber terutamanya media sosial agar tidak terjerumus kepada fahaman-fahaman yang bercanggah dan tidak sesuai diamalkan di negara ini yang mana pada masa yang sama untuk menjaga kelestarian dan kemurnian pegangan Ahli Sunnah Waljama’ah.

Sehubungan itu, untuk memberikan gambaran lebih jelas mengenai perkara berkenaan, Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljama’ah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan kerjasama Masjid Hassanal Bolkiah, Daerah Tutong telah meneruskan Kuliah Bulanan Ahli Sunnah Waljama’ah secara maya, hari ini.

Kuliah bulanan yang diadakan melalui aplikasi Zoom itu disampaikan oleh Pengarah Pusat Kajian Fiqh al-Usrah, KUPU SB, Awang Hilman bin Haji Salim selaku pembentang kali ini.

Beliau antara lain menyentuh mengenai maksud di sebalik istilah Ahli Sunnah Waljama’ah sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Negara Brunei Darussalam, iaitu Mazhab Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyah dalam akidah dan Mazhab Syafi’e dalam amalan fiqhiyah.

Kuliah menjelaskan perkara-perkara asas berkenaan takrifan, asal perkataan dan pegangan-pegangan Ahli Sunnah Waljama’ah.

Awang Hilman ketika menyampaikan kuliah secara dalam talian berkenaan.

Beliau menerangkan bahawa pemikiran Islam adalah hasil pemikiran yang telah dihasilkan oleh para ulama Islam, dengan melalui proses ijtihad berdasarkan dua sumber utama iaitu Al-Quran dan As-Sunnah, meliputi bidang-bidang seperti akidah, ibadah dan syariah, siyasah dan akhlak.

Kedua-dua sumber ini, tambah beliau, amat penting untuk memastikan pemikiran dan amalan beragama tetap berada di landasan ataupun kerangka Ahli Sunnah Waljama’ah.

Selain itu, beliau juga menyentuh berkenaan beberapa isu-isu akidah semasa yang menyalahi prinsip-prinsip pegangan Ahli Sunnah Waljama’ah.

Antara yang dibangkitkan adalah isu mentakwilkan ayat mutasyabihat iaitu ayat yang samar maknanya, isu berkaitan mazhab yang merosakkan agama, isu Bidaah serta amalan-amalan beragama khasnya di Brunei.

Maka orang ramai terutama sekali orang yang lebih arif mengenai perkara ini dinasihatkan agar peka dan mengawasi serta mendidik para belia masa kini supaya lebih memahami istilah Ahli Sunnah Waljama’ah yang sebenar.

Kuliah Bulanan Ahli Sunnah Walja-ma’ah itu akan diteruskan lagi dengan tajuk perbincangan lain dan akan disiarkan secara langsung melalui Zoom dan Instagram rasmi Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljama’ah.