Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang mempunyai kaitan dengan ekonomi global dan hubungan perdagangan seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), adalah amat penting bagi komuniti ekonomi Brunei memahami cabaran serta trend global dan bagaimana ia memberi kesan kepada perniagaan kita.
Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) Brunei dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat LVK, Dayang Hafimi binti Abdul Haadii dalam kata alu-aluannya pada Persidangan Perniagaan Kebangsaan 2023 yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.
Hadir dan menyampaikan ucaptama pada persidangan berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Dalam kata alu-aluannya lagi, Dayang Hafimi menekankan pentingnya penyertaan semua pihak iaitu penggubal dasar dan pemimpin perniagaan dalam memacu pertumbuhan
ekonomi.
Manakala itu, Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan (BAC) ASEAN Brunei dan Ketua Pegawai Eksekutif Dynamik Technologies, Dayang Haslina binti Taib dalam kata alu-aluannya menyatakan sudah tiba masanya untuk merubah golongan muda dan berpendidikan negara menjadi sebuah tenaga kerja digital serta menempatkan Brunei sebagai hab ekonomi digital termasuk industri halal, hijau dan tenaga negara ke arah ASEAN Net Zero untuk bumi yang lebih baik.
Beliau turut menyatakan sudah tiba masanya untuk mengembangkan kolaborasi dan kerjasama setempat serta serantau khususnya dalam Koridor Ekonomi Borneo yang berpotensi untuk dimajukan dan menyokong perusahaan kecil dan sederhana di seluruh Borneo untuk terlibat dengan lebih aktif dalam perdagangan digital.
Semua itu, tambahnya, akan membina kemakmuran bersama.
Persidangan turut mengetengahkan pembentangan daripada Setiausaha Agung, Majlis Kerjasama Ekonomi Pasifik, Eduardo Pedrosa yang mengetengahkan mengenai bagaimana cabaran-cabaran global memberikan kesan kepada rantau berkenaan seperti inflasi, isu rantaian bekalan dan turun naik mata wang.
Manakala itu, semasa sesi panel perbincangan, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid mengongsikan bahawa ekonomi negara menyaksikan kepelbagaian yang lebih besar serta menggalakkan komuniti perniagaan untuk menerima pakai pendigitalan.
Persidangan itu turut menyaksikan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha menyampaikan ucaptama mengenai Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara pintar.
Pada persidangan itu juga, pengekod muda dari United Kingdom (UK), Femi Owolade-Coombes yang berusia 17 tahun, mengongsikan tentang perjalanan pengekodannya dan bagaimana beliau bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk mendapatkan golongan muda supaya berminat dalam bidang pengekodan.
Beliau menggalakkan golongan muda yang menghadiri persidangan itu untuk memikirkan sesuatu secara meluas bukan hanya tertumpu di Brunei tetapi juga secara global.
Persidangan yang membawa tema ‘Di Luar Pemulihan: Membina sebuah Masa Hadapan Digital Mampan’ itu disertai oleh lebih 300 orang peserta yang berpeluang mendengar pendapat dan perkongsian daripada tokoh-tokoh perniagaan dan pegawai kanan kerajaan serta pakar-pakar luar negara.
Ia bermatlamat untuk meneroka bagaimana sektor awam dan swasta dapat bekerjasama untuk memajukan sebuah ekonomi digital mampan dan berusaha ke arah mencapai wawasan 2035.
Persidangan turut memberi peluang kepada para peserta mendapatkan pandangan mendalam mengenai persekitaran perniagaan bagi 2023, yang akan membantu mereka untuk mempersiapkan dan merancang serta juga menubuhkan rangkaian hubungan dengan para pembentang dan peserta persidangan yang lain.