Fahami konsep industri 4.0

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Seramai 30 peserta dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) menyertai Bengkel ‘Embarking on Industry 4.0’ yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Dewan Seri Kerna, SEAMEO VOCTECH, Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis perasmian bengkel anjuran bersama Akademi Latihan TVET dan Pusat Serantau bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (SEAMEO VOCTECH) itu ialah Pengetua Kampus Pusat IBTE, Dr Sheikh Lukman bin Sheikh Abdul Hamid.

Bengkel itu dijalankan oleh Pengarah Aspire Consulting and Training dari UK, Profesor Jay Acharya.

Kursus Latihan Pengenalan Industri 4.0 itu merangkumi konsep utama industri pintar masa hadapan, sistem siber-fizikal dan proses fizikal dalam persekitaran industri kini, dan teknik maya serta keupayaan membuat keputusan pintar yang akan membantu pengurus-pengurus dalam memimpin inisiatif masa depan.

Bengkel bertujuan untuk membantu peserta membayangkan dan memimpin elemen-elemen strategik dan transformasi teknikal organisasi berasaskan Industri 4.0 dalam sektor TVET.

Objektifnya adalah untuk menjelaskan Industri 4.0 dan ekosistem pihak berkepentingan yang terlibat, mengkaji semula peta jalan untuk aplikasi dunia Industri 4.0 yang merentasi pelbagai organisasi, impak perniagaan dan teknologi, memaklumkan peserta dengan kajian kes dari pelbagai organisasi dan memahami peluang dan cabaran TVET, membantu peserta memahami bagaimana sektor TVET memainkan peranan utama bagi kejayaan masa depan semua sektor industri lain, dan menyedari betapa TVET boleh mengekalkan standard 4.0 dalam pemikiran, dan penyampaian perkhidmatannya.

Manfaat utama bengkel adalah untuk memperolehi pengetahuan asas tentang data, alat-alat dan teknik untuk memacu perubahan dan memanfaatkan Industri 4.0 melalui perniagaan telekom.

Dengan integrasi aktiviti pembelajaran dan interaktif serta komponen didaktik tradisional dalam sektor TVET, bengkel itu memberi peluang untuk memajukan sistem pendidikan dan pengurusan.

Profesor Jay Acharya semasa mengendalikan bengkel.