Fahami pengurusan sisa pepejal

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Pengurusan sisa buangan bersepadu Negara Brunei Darussalam mendapat perhatian lapan orang pelajar mata pelajaran Geografi, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhatdee Billah (Maktab Duli), Gadong yang mengadakan lawatan sambil belajar ke Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) di Pejabat JASTRe, Tumasek Plaza, kelmarin.

Rombongan pelajar bersama guru mereka daripada Kelas Geografi Set U5, mengadakan lawatan sambil belajar berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai pengurusan alam sekitar dalam mata pelajaran mereka mengenai pelupusan sisa pepejal.

Semasa lawatan sambil belajar berkenaan, rombongan diberikan taklimat bertajuk ‘Pengurusan Sisa Buangan di Brunei’ yang disampaikan oleh Pegawai Alam Sekitar JASTRe, Awang Muhd Fakhrurazi bin Haji Salleh yang menjelaskan mengenai pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh JASTRe bagi mengurangkan jumlah sisa pepejal dan salah satu inisiatif berkenaan adalah tanpa beg plastik dari Isnin hingga Ahad.

Para pelajar juga mempelajari bahawa secara purata, warga Brunei menghasilkan sebanyak 1.4 kilogram sisa seorang sehari.

Lawatan sambil belajar itu memberikan peluang kepada para pelajar yang sedang belajar mengenai pengurusan alam sekitar untuk melihat dengan lebih dekat contoh-contoh tempatan bagi pengurusan sisa dengan harapan ia akan memberikan peluang kepada mereka untuk menyaksikan sendiri proses-proses yang dilaksanakan dalam pengurusan sisa dan memudahkan mereka untuk membandingkannya dengan pengurusan yang dijalankan di negara-negara lain.

Rombongan pelajar dan guru, Kelas Geografi SET U5, Maktab Duli bergambar ramai dengan Awang Muhd Fakhrurazi selepas sesi taklimat.