Fahami proses pembuatan konkrit

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Readymix Concrete (B) Sdn Bhd, baru-baru ini, telah menerima kunjungan daripada rombongan lebih 30 orang dari Jabatan Kerja Raya (JKR), yang terdiri daripada jurutera, juruukur, pegawai projek dan kakitangan dalaman lain.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Readymix, hadir mengetuai lawatan itu ialah Pengurus Teknikal Readymix, Howell Dosal Carcillar yang telah bersama syarikat berkenaan sejak 2012 dengan empat tahun pengalaman sebagai pakar konkrit di Dubai sebelum menjawat jawatan di Brunei.

Semasa lawatan itu, beliau menunjukkan proses terperinci pembuatan konkrit daripada pemerolehan bahan mentah yang digunakan, kawalan kualiti dan ujian bahan mentah, proses penghasilan dan penghantaran.

Sebelum lawatan pendidikan ke kilang konkrit di Sungai Akar, taklimat dan pemeriksaan keselamatan telah dijalankan untuk memastikan keselamatan semua pengunjung.

Eksekutif Pemasaran, Dayang Zara Laila binti Abdul Hadi dipetik menyatakan bahawa Readymix sentiasa bersedia untuk mengalu-alukan orang awam ke kilang mereka.

Menurutnya, mereka ingin mendidik orang awam mengenai proses terperinci bagaimana mereka mampu mengekalkan kualiti konkrit mereka selama 35 tahun ini.

Gambar ramai rombongan JKR ketika mengadakan lawatan ke kilang pembuatan konkrit Readymix. – Gambar Serahan Readymix