Fahami secara mendalam fungsi Rang Pemberitahuan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Pegawai dan kakitangan Jabatan Tanah berpeluang untuk mengetahui dan memahami lebih mendalam mengenai dengan Rang Pemberitahuan semasa Taklimat B.R.O Notification 1938 yang berlangsung di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan  Latihan, Kementerian Pembangunan, hari ini.

Taklimat anjuran Pejabat Peguam Negara dengan kerjasama Jabatan Tanah, Kementerian Pembangunan itu, turut dihadiri oleh Pemangku Pesuruhjaya Tanah, Haji Yunaidi bin Haji Yunus.

Taklimat disampaikan oleh Pemangku Penggubal Undang-undang, Pejabat Peguam Negara, Pengiran Hajah Siti Rahmah binti Pengiran Haji Mohammad yang menyentuh mengenai Rang Pemberitahuan serta pentingnya kepada para pegawai dan kakitangan Jabatan Tanah yang berkenaan.

Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, Pengiran Hajah Siti Rahmah menerangkan bahawa taklimat itu adalah salah satu inisiatif dari Pejabat Peguam Negara untuk melatih kakitangan di jabatan kerajaan mengenai kaedah menggunakan Rang Pemberitahuan yang dikeluarkan oleh Jabatan Tanah.

Ia juga bertujuan untuk menjelaskan sumber undang-undang dilaksanakan oleh para kakitangan jabatan berkenaan termasuk mengapa mereka perlu membuat pemberitahuan-pemberitahuan berkenaan.

Paling mustahak, jelasnya, adalah untuk makluman orang ramai dan untuk menjalankan kuasa yang diberikan kepada mereka.

Mengulas mengenai taklimat itu, beliau menerangkan bahawa ia merupakan kerjasama di antara Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Tanah bagi meningkatkan keberkesanan proses penggubalan rang-rang pemberitahuan dan supaya rang berkenaan akan dibuat dengan lebih teratur serta tepat.

Oleh itu, menerusi penerangan yang diberikan, para kakitangan dapat memahami akan tugas mereka. Pada masa yang sama, ia merupakan usaha Pejabat Peguam Negara untuk membantu jabatan kerajaan dalam menjalankan tugas mereka.

Haji Yunaidi (tiga, kiri) dan Pengiran Hajah Siti Rahmah (dua, kiri) pada Taklimat B.R.O Notification 1938 yang berlangsung di Dewan Indera Pahlawan, Kementerian Pembangunan.