Fahami tatacara penggunaan alat pemadam api

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi ‘F’, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), baru-baru ini, telah mengadakan Taklimat Keselamatan Kebakaran dan tunjuk ajar tatacara menggunakan alat-alat pemadam api dengan betul bagi 61 orang rekrut Setia Protective Security Services (SPSS) yang menjalani latihan pada waktu ini.

JBP dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menyatakan bahawa sesi taklimat dan tunjuk ajar yang diadakan pada 17 Ogos lalu itu bermatlamat sebagai persediaan kepada rekrut untuk menjalankan tugas selepas menamatkan latihan serta untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya kebakaran di samping memupuk rasa bertanggungjawab dan mengambil berat mengenai aspek-aspek keselamatan kebakaran.

Kenyataan juga menyatakan bahawa sebagai salah satu badan korporat di Negara Brunei Darussalam, latihan kebakaran dan pengosongan bangunan akan dibuat sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi memastikan keselamatan awam.

Ia juga salah satu aktiviti bagi pihak SPSS untuk mengesahkan keberkesanan prosedur yang efektif dan bersistematik bagi membolehkan interaksi, kerjasama dan menguatkan perhubungan antara JBP serta pihak Syarikat SPSS.

JBP dalam kenyataannya juga menyatakan bahawa jabatan berkenaan menyediakan program-program keselamatan seperti Taklimat Life Saver 995 dan kursus marsyal bomba bagi mengetahui aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api khusus.

JBP menyeru orang ramai supaya menghubungi talian kecemasan 995 jika berlaku sebarang insiden kecemasan dan memberikan maklumat yang tepat.

Rekrut SPSS mendengarkan taklimat mengenai keselamatan kebakaran semasa sesi taklimat dan tunjuk ajar yang diadakan pada 17 Ogos lalu. – Gambar serahan JBP