Oleh Fadhil Yunus
THAILAND, 12 APRIL – Pemain bintang Brunei Darussalam, Faiq Jefri Bolkiah mengekalkan prestasi terbaik-nya untuk Chonburi FC selepas membantu pasukan tersebut menang 2-1 ke atas Prachuap FC dalam Hilux Revo Thai League 1 di Stadium Chonburi di Thailand, baru-baru ini.
Pemain sayap kebangsaan itu hampir membuka akaunnya untuk kelab berkenaan dengan gol profesional senior pertama selepas percubaannya terkena palang berikutan dengan menunjukkan aksi perseorangan yang cemerlang.
Faiq, yang kini menikmati musim penampilan sulungnya dalam bola sepak Thailand, memecut melepasi seorang pemain selepas lontaran masuk sebelum menewaskan pemain pertahanan pasukan pelawat, Eakkanut Kongket untuk membolehkannya melakukan rembatan.
Ini bukan kali pertama percubaan Faiq dinafikan selepas mengalami insiden serupa semasa perlawanan liga menentang Chiangrai United pada Februari lalu.
Pemain antarabangsa Brunei itu, yang menyumbang dengan tiga assist setakat penggal ini, turut disenaraikan dalam kesebelasan utama untuk permulaan liga keenamnya dalam 11 penampilan.
Mengejar mendapatkan assist keempat, Faiq membuktikan ancaman dengan rentaknya yang menakjubkan dan hantaran silang rendah hampir jatuh kepada rakan sepasukan.
Bekas pemain prospek belia Leicester City itu juga melakukan percubaan yang tersasar pada separuh masa kedua selepas mencipta peluang di tepi kawasan kotak penalti.
Pasukan baharu Faiq mendahului menerusi jaringan perseorangan yang cemerlang oleh Yoo Byung-soo sebelum Apichart Denman yang tidak dikawal menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat selepas hantaran lintang yang sempurna daripada Thitakwee Aksornsri.
Namun, Sharks merampas kemenangan tersebut selepas Renato Kelic menanduk masuk hantaran lintang daripada Songchai Thongcham.
Pasukan tuan rumah terselamat daripada tersungkur sehingga masa kecederaan tetapi percubaan Willen Mota berakhir dengan selamat di tangan penjaga gol Chonburi, Chanin Sae-ear.
Keputusan tersebut melonjakkan Chonburi ke tangga kelima, dua mata di belakang Chiangrai United yang berada di tempat keempat tetapi dengan kelebihan dua perlawanan.
Pasukan Sharks juga mempunyai minat dalam Piala Liga Thailand selepas mara ke separuh akhir berikutan kemenangan 1-0 dengan masa tambahan ke atas Bangkok United pada bulan lalu.
Faiq mungkin berada dalam rangka untuk mengekalkan tempatnya dalam perlawanan liga seterusnya di laman sendiri pada 23 April nanti menentang Nakchon Ratchasima FC, tempat bekas pemain DPMM FC, Charlie Clough bermain.