Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Faiq cipta gol pertama Brunei

    Oleh Fadhil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Bintang bola sepak Brunei Darussalam, Faiq Jefri Bolkiah mencipta sejarah selepas menjadi pemain pertama Brunei yang menjaringkan gol untuk kelab luar negara dalam liga profesional semasa Chonburi FC menewaskan Port FC 1-0 dalam Liga Perdana 1 Thailand di Stadium Perbandaran Chonburi, Thailand, baru-baru ini.

    Gol kemenangan tersebut membantu pasukannya menginjak ke kedudukan kedua, satu mata di depan Ratchaburi FC. Faiq, yang membuat penukaran dari Eropah ke Asia kerana kekurangan peluang bermain di Portugal, akhirnya membuat jaringan pertama untuk kelabnya dalam tujuh kemunculan pada musim ini.

    Beliau yang mendapat pengalaman di Eropah semasa bermain untuk Chelsea dan Leicester City, juga mempunyai satu gol yang dinafikan oleh Video Bantuan Pengadil (VAR).

    Peristiwa bersejarah tersebut terjadi pada minit kesembilan selepas beliau meledak gol dari jarak dekat setelah penjaga gol Port FC pada awalnya cuba menyelamatkan bola hasil tandukan Chalermpong Kerdkaew. Dengan kebimbangan berlaku perlanggaran yang membabitkan penjaga gol untuk gol pembukaan, VAR telah dirujuk dan pengadil mendapati tiada kesalahan telah dilakukan.

    Faiq juga berjaya menjaringkan gol pada babak kedua, namun kali ini gol tersebut telah dinafikan oleh pengadil kerana hasil daripada VAR mendapati rakan sepasukannya berada di kedudukan ofsaid. Port FC menyangka mereka dapat membawa pulang satu mata tujuh minit sebelum permainan tamat, namun gol Sergio Suarez juga telah dinafikan oleh pengadil hasil rujukan daripada VAR.

    Dengan ini, pemain antarabangsa Brunei tersebut telah melakar namanya dalam sejarah selepas menjadi pemain Brunei pertama bermain dalam liga perdana bola sepak antarabangsa.

    Sebelum kejayaan Faiq mencipta sejarah, pemain kebangsaan, Adi Said merupakan warga Brunei pertama menjaringkan gol untuk kelab luar negara dalam Liga Perdana Malaysia (divisyen kedua).

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...