Faiq sertai kelab Liga Perdana Portugal

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Pemain sayap Negara Brunei Darussalam, Faiq Jefri Bolkiah (gambar bawah) telah secara rasmi menyertai kelab Liga Perdana Portugal C.S Maritimo dalam perjalanan karier terbaharunya selepas menyertai kelab di England.

Liga di Portugal mengesahkan kedatangannya berikutan penandatanganan kontraknya yang akan menjadikan Faiq bersaing untuk menjadi pemain pertama dari negara ini beraksi di bola sepak profesional di Portugal.

Pemain antarabangsa Brunei itu telah menghabiskan beberapa musim terakhirnya bersama Leicester City bagi pasukan bawah 23 tahun, walaupun dia tidak membuat penampilan tunggal untuk pasukan senior dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Saya berasa bangga dan saya gembira dapat menyertai pasukan terbaik di pulau ini. Saya telah berada di sini selama dua hari terakhir, berada di sekitar tempat ini dan belajar lebih banyak mengenai sejarah kelab ini,” kata Faiq dalam temu bual.

“Semuanya positif. Saya rasa ini adalah tempat terbaik untuk membawa saya ke arah yang ingin di capai dalam karier bola sepak saya,” tambahnya.

“Saya ingin maju di sini secepat mungkin dan hanya mahu bekerja keras mengadakan latihan.

“Saya mempunyai matlamat untuk dicapai dan harap tempat ini dapat membawa saya ke arah itu,” tambahnya.

Ditanya mengenai kecergasannya, dia berkata, “Saya cukup tangkas dan merupakan pemain sayap dan saya mahu menjaringkan gol.”

Musim Liga Perdana baharu bermula minggu lalu dengan Maritimo memulakan kempen mereka dengan kekalahan 2-0 ke atas Santa Clara.

Pasukan baharu Faiq akan menjadi tuan rumah menentang Tondela minggu ini di Stadium Estadio dos Barreiros sebelum bertemu pasukan gergasi Portugal, Porto, di Stadium do Dragao pada 4 Oktober.

Pemain berusia 22 tahun itu juga pernah menyertai Chelsea dan Arsenal setelah bermain bagi pasukan remaja di A.F.C Newbury dan Southampton.

Faiq mewakili pasukan kebangsaan untuk enam kali setelah membuat penampilan sulung pada 2016 dan mencatatkan satu gol.

Dia dijangka akan disertai oleh penyerang Johor Darul Takzim, Safawi Rasid di Portugal, dengan pemain antarabangsa Malaysia itu dilaporkan terlibat dalam perpindahan dengan Portimonense.

Maritimo mara ke final berturut-turut di Taca da Liga pada tahun 2015 dan 2016, tewas kepada Benfica pada kedua-dua perlawanan.

Musim lalu, kelab yang berpangkalan di Funchal itu menduduki tempat ke-11 dalam liga 18 pasukan, yang dimenangi oleh Porto.