Selepas mengangkat hal rumah tangga dalam lagu Ragaman, Faizal Tahir bercerita kisah kecenderungan manusia bersikap tergesa-gesa melalui single baharu, Santai.
Santai yang diterbitkan Faithful Music menyaksikan kolaborasi penyanyi dan komposer berusia 43 tahun itu bersama Ezra Kong.
Faizal atau nama sebenar, Ahmad Faizal Mohammad Tahir, berkata idea menghasilkan single Santai tiba secara spontan.
“Idea itu datang apabila Ezra menyebut perkataan santai dalam sesi menulis lagu.
“Idea lirik dan hala tuju lagu secara keseluruhan berkisar sikap kita yang sentiasa tergesa-gesa atau terburu-buru dalam melakukan atau mendapatkan sesuatu.
“Malah, sikap tergesa-gesa manusia disebut Allah dalam Al-Quran,” katanya.
Sama seperti kebanyakan lagu yang pernah dihasilkan, Faizal tidak hanya memberi fokus kepada komposisi, malah, mengutamakan mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat.
“Kelebihan lagu Santai ini adalah dalam mesej dan cara penyampaiannya. Lagu ini membawa getaran yang sangat santai dan mudah dihadam pelbagai lapisan masyarakat.
“Kebanyakan lagu yang saya hasilkan sejak kebelakangan ini membawa mesej yang dekat dengan kehidupan seharian atau kritikan sosial,” katanya lagi.
Baginya, usaha itu dianggap cara terbaik untuk memberi kesedaran dan nasihat kepada diri sendiri dan orang ramai.
“Kita lebih mudah faham dan hadam perkara yang lebih dekat dengan kita.
“Tetapi setiap nasihat mahu pun teguran dalam karya saya adalah untuk diri saya sendiri dahulu, sebelum ditujukan kepada orang lain.
“Saya harus faham dan mampu hadam mesej daripada karya, itu paling penting. Sekiranya pendengar mendapat manfaat dengan meng-hayati karya saya, ia dianggap bonus,” katanya.
Berkongsi lanjut mengenai lagu Santai, Faizal kembali bekerjasama dengan Ezra selepas kali terakhir menghasilkan lagu Malaysia pada 2018 dan Kamu, setahun kemudian. – Agensi