Wednesday, February 19, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fakta mengenai aktiviti tidur anak damit

    SEBAIK bergelar ibu bapa, tentu anda berdua menerima banyak tip dan cara terbaik untuk menjaga anak damit daripada ahli keluarga dan kawan-kawan, salah satunya tentang cara menidurkan si comel.

    Namun, adakalanya cara yang mereka sarankan tidak sesuai untuk anak damit anda. Sebaiknya jangan terima bulat-bulat saranan orang lain.

    Anda sendiri perlu tahu antara fakta dan mitos tentang aktiviti tidur anak damit. Dengan kata lain carilah ilmu dan info yang betul tentang penjagaan anak damit.

    Berikut digariskan beberapa pantang larang dan fakta tentang aktiviti tidur anak damit.

    Tidur mengiring

    Untuk mengelakkan risiko sindrom kematian mengejut bagi anak damit atau Sudden Infant Death Syndrome (SIDS) sebaiknya letakkan anak damit dalam kedudukan terlentang semasa tidur, dan bukan mengiring apatah lagi meniarap.

    Waktu tidur yang mencukupi adalah penting untuk perkembangan anak damit.
    Waktu tidur yang mencukupi adalah penting untuk perkembangan anak damit.

    Sekiranya anak damit tidur mengiring, dibimbangkan dia akan berpusing ke depan sehingga perutnya berada di bawah. Kedudukan tidur paling selamat bagi anak damit adalah dengan punggungnya di bawah atau terlentang.

    Seandainya anak damit lena dalam keadaan meniarap, sentiasa pastikan hidungnya tidak tertindih, supaya anak damit itu boleh bernafas selesa dan periksa setiap beberapa minit.

    Waktu tidur

    Anak damit baru lahir boleh tidur bila-bila masa dia mengantuk dan sudah kenyang. Dia juga akan terbangun apabila merasa lapar, lampinnya basah, atau sebab lain.

    Tidak perlu untuk bersusah payah menentukan jadual tidur anak damit supaya dia dapat tidur lebih teratur kerana ketika anak damit masih terlalu kecil, ia tidak akan berhasil. Kita yang mesti menyesuaikan dengan si kecil.

    Membedung dapat menenangkan anak damit

    Membedung, jika dilakukan dengan betul memang sangat membantu membuatkan anak damit berasa selesa.

    Anda mungkin bimbang jika dibedung, anak damit akan merasa lemas dan panas. Tetapi jika anak damit tidak dipakaikan pakaian yang tebal dan cuaca tidak panas, membedung tidak menyebabkan anak damit tidak selesa.

    Bagaimanapun pastikan kedudukan anak damit semasa dibedung adalah betul kerana jika terlalu ketat sudah tentu ia akan membuatkan si comel menangis kerana tidk selesa.

    Tidur nyenyak

    Sebenarnya tidak kisah di mana anak damit anda tidur. Asalkan dia tidur nyenyak, anda tidak perlu risau mengenai kualiti tidurnya.

    Anak damit boleh tertidur di mana sahaja bila dia sudah mengantuk. Anda tidak perlu untuk memindahkan anak damit hanya untuk memastikan dia tidur lebih nyenyak kecuali bimbang si kecil boleh terjatuh atau berguling kerana tempatnya tidur kurang selesa dan berisiko.

    Elakkan penambahan bijirin dalam susu formula

    Tidak ada bukti bahawa kaedah penambahan bijirin dalam susu formula dapat memberikan kesan pada tidur anak damit.

    Bahkan jika diberi sebelum anak damit berusia enam bulan, ia hanya membahayakan kesihatan mereka.

    Ini kerana anak damit belum mempunyai kemampuan untuk menghadam sebelum usianya mencecah enam bulan ke atas.

    Oleh itu, ibu bapa tidak boleh memperkenal-kan makanan pejal pada anak damit sebelum waktunya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda