Faktor renangan, aksi lure

Oleh Raz AS

Bibir lure yang berbentuk seperti sudu dan terletak pada bahagian depan (kepala) lure adalah bahagian paling penting pada lure jenis crankbait yang akan menentukan aksi renangan dan kedalaman selamannya.

Bibir ini bertujuan untuk memanipulasi tekanan air yang terhasil semasa proses retrieve yang menyebabkannya menyelam melawan keapungan badan lure dan juga ketidakseimbangan pada badan lure untuk membelah air.

Oleh yang demikian, badan lure akan bergelek-gelek (wobbling) seperti ikan yang berenang atau ikan yang tercedera tanpa pemancing perlu menghenjut-henjut (twitching atau jerking) hujung joran untuk menghidupkan aksi lure seperti ketika menggunakan lure jenis pencil, popper dan seumpamanya.

Bibir lure yang datang dalam pelbagai jenis bentuk, sudut, lebar dan panjang adalah faktor penting untuk difahami oleh pemancing agar mereka boleh memilih dan menggunakan lure yang sesuai mengikut keadaan persekitaran padang pancing, kedalaman ikan berada dan selera ikan ketika itu.

Faktor utama yang harus difahami sudut bibir lure bukanlah penentu utama kedalaman lure menyelam kerana faktor kedalaman selaman adalah ditentukan oleh kelebaran dan paling penting ialah kepanjangan bibir sesuatu lure itu.

Rajah menunjukkan bagaimana bibir lure mempengaruhi kedalaman selaman dan aksi renangannya.
Bibir lure datang dalam pelbagai jenis bentuk, sudut, lebar dan panjang.

Meskipun begitu, ia mempunyai kaitan dengan faktor kedalaman selaman lure. Untuk lure yang mempunyai selaman dalam, sesuatu lure itu haruslah mempunyai bibir yang panjang dan kedudukan sudut bibirnya lebih mendatar, jika sudutnya terlalu menegak renangan lure akan menjadi tidak setabil dan lure tidak akan menyelam sama sekali kerana halangan air.

Manakala lure selaman cetek yang mempunyai bibir yang lebih kecil dan pendek pula memerlukan sudut yang lebih menegak, jika tidak lure itu akan mempunyai aksi yang tidak bergerak ataupun ‘mati’.

Kelebaran bibir lure pula adalah faktor penting untuk menentukan aksi wobble sesuatu lure itu. Lure yang mempunyai bibir yang lebar mempunyai aksi renangan yang lebih hidup (wide wobbling) kerana ia memerlukan lure tersebut untuk bergerak ke kiri dan kanan dalam gerakan yang lebih besar untuk melawan halangan air. Manakala lure yang mempunyai bibir yang kecil pula mempunyai aksi renangan yang lebih padat (tight wobbling).