Monday, February 10, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Falcao muncul wira Monaco

    PARIS, 9 April – Radamel Falcao menunjukkan aksi memberangsangkan apabila menjaringkan gol tunggal Monaco sekali gus mengukuhkan kedudukan di puncak Ligue 1, Perancis menerusi kemenangan 1-0 ke atas Angers pada penampilan pertamanya selepas enam minggu tersisih.

    Gol Falcao tiba selepas sejam perlawanan berlangsung dengan kemenangan itu turut mengakhiri prestasi baik Angers di Stade Raymond Kopa.

    Monaco kini mengharungi 13 perlawanan Ligue 1 tanpa kalah dan memberi mereka kelebihan empat mata di puncak liga mengatasi Nice yang menang 2-1 menewaskan Lille, semalam selain kelebihan kurang satu perlawanan.

    Penyandang juara, Paris Saint-Germain (PSG) yang menewaskan Monaco 4-1 minggu lalu pada aksi final Piala Liga boleh mencantas kembali kedudukan itu kepada tiga mata jika menang di laman sendiri menentang Guingamp, awal pagi esok.

    Bagi Monaco, ia adalah persiapan sempurna menjelang pertemuan suku akhir Liga Juara-Juara bertemu Borussia Dortmund di Jerman, Rabu ini dan kekal di landasan tepat untuk memenangi gelaran Perancis yang kali terakhir dijulang pada 2000.

    Kunjungan Monaco ke laman Angers yang turut beraksi di pentas separuh akhir Piala Perancis jelas sukar dengan lawan memiliki pemain bertubuh besar, kuat dan bercorak fizikal selain tidak pernah tewas di laman sendiri sejak Disember tahun lalu.

    Jardim menurunkan Falcao dalam kesebelasan utamanya buat pertama kali sejak lewat Februari lalu untuk penyerang Colombia itu membuktikan kecergasannya menjelang pertemuan dengan Dortmund.

    Kelibat pemain remaja sensasi, Kylian Mbappe yang bergandingan dengan Falcao hampir meletakkan Monaco di depan namun gol yang diharapkan hanya muncul pada minit ke-61.

    Falcao menyempurnakan hantaran Nabil Dirar apabila merembat masuk pada jarak 12 kaki (tiga meter) untuk meledak gol ke-17 dalam liga dan gol ke-25 dalam semua kejohanan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda