FAM anjur kejohanan buat julung kali

KUALA LUMPUR, 16 APRIL – Hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 selain peluang beraksi ke kejohanan sukan elektronik (Esports) antarabangsa menjadi tarikan pada edisi sulung Kejohanan Malaysia National eChallenge yang berlangsung sehari esok.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi hantaran terbaharu dalam laman Facebooknya memaklumkan, kejohanan sukan elektronik dalam talian FIFA20 itu turut mendapat kerjasama dari Persatuan Esports Kuala Lumpur (ESKL) dan GamesBond, selain disokong oleh Esports Malaysia (ESM).

FAM menjelaskan bahawa juara kejohanan berkenaan akan berganding bersama seorang pemain bola sepak kebangsaan bagi mewakili Malaysia ke Kejohanan Sukan Elektronik Antarabangsa, iaitu FIFA eNations Stay & Play Cup yang bakal diadakan pada 21 April ini. Badan induk itu men-dedahkan kejohanan berkenaan terpaksa dilangsungkan dari kediaman masing-masing memandangkan seluruh dunia sedang berdepan pandemik COVID-19, selain kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April ini. – Bernama