FAM cadang anjur perlawanan menerusi gelembung bioperubatan

KUALA LUMPUR, 25 JULAI – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhasrat menganjurkan dua siri perlawanan antarabangsa Tier 1 melibatkan skuad Harimau Malaya menerusi kaedah gelembung bioperubatan di Malaysia pada September depan.

Setiausaha Agungnya Stuart Ramalingam berkata FAM telah membuat permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membentangkan sendiri kertas cadangan penganjuran perlawanan itu.

Menurut Stuart, FAM turut telah mendapatkan persetujuan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk bersama-sama membantu dalam pembentangan kertas cadangan itu bagi memperkukuhkan fakta dan hujah mengenai cadangan penganjuran perlawanan itu. Katanya AFC akan berkongsi butiran prosedur operasi standard (SOP), fakta dan pengalaman mereka sepanjang mengendalikan pusingan kedua kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, dan Liga Juara-Juara AFC secara gelembung bioperubatan.

“AFC juga telah bersetuju untuk bekerjasama dan membantu FAM dalam pengendalian operasi dua perlawanan antarabangsa secara gelembung bioperubatan pada September itu nanti,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata FAM yakin kertas cadangan serta perincian SOP dibuat bagi menganjurkan perlawanan itu secara gelembung bioperubatan akan dapat diluluskan MKN dan KKM memandangkan ia mengambil kira semua aspek keselamatan serta kesihatan bagi skuad kebangsaan dan juga pasukan lawan. – Bernama