KUALA LUMPUR, 22 DIS – Jawatankuasa Pemilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diwujudkan demi membuktikan ketelusan serta integriti dalam proses pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2021-2025, kata pengerusinya Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said.
Menurut kenyataan FAM, penubuhan jawatankuasa yang diluluskan pada Kongres Tahunan persatuan 29 Ogos lepas adalah visi Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin yang mahukan badan induk bola sepak negara itu mempunyai proses lebih telus dan beretika menjelang pemilihan FAM akan datang.
Pada mesyuarat pertama jawatankuasa itu semalam, telah membincangkan mengenai tugas dan tanggungjawab jawatankuasa berkenaan menjelang pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM pada Kongres FAM kali ke-57 yang akan diadakan tahun hadapan.
“Saya difahamkan FAM adalah persatuan sukan kebangsaan pertama di negara ini yang mempunyai Kod Pemilihan tersendiri.” – Bernama






























